Konsert bintang K-POP yang bakatnya dicungkil menerusi program PRODUCE 101 musim kedua, Wanna One yang berlangsung di Stadium Negara pada malam 19 Januari 2018 mengundang kekecohan apabila banyak peminat dilaporkan cedera. Malah, peminat dikatakan tidak boleh mengawal perasaan dengan berasak-asak sehingga membuatkan ramai pengsan dan histeria.
Kejadian yang berlaku ini didakwa berlaku kerana lokasi konsert itu tidak sesuai memandangkan lebih 10,000 peminat Wanna One yang bukan saja dari Malaysia serbu untuk melihat sendiri secara langsung persembahan 11 anak muda iaitu Kang Daniel, Jihoon, Daehwi, Jaehwan, SeongWoo, Woojin, Guanlin, Jisung, Minhyun, Jinyoung dan Sungwoon.
Kekecohan tersebut telah memaksa konsert itu ditunda lebih 1 jam hanya semata-mata mahu mententeramkan keadaan peminat yang naik hantu dan terlalu teruja melihat bintang K-POP yang digilai ramai ini.
Dalam pada itu, ahli Wanna One Jinyoung yang baru berusia 17 tahun ini telah mendedahkan sikap sebenar ahli Wanna One yang paling popular iaitu Kang Daniel. Menurut Bae Jinyoung yang tingginya seperti seorang model, sikap Daniel dihadapan peminat begitu berbeza dari sikap sebenarnya. Namun, sikap Daniel yang dilaporkan antara bintang K-POP di Korea yang mempunyai paling banyak tawaran menjadi model dan juru cakap produk bukanlah ke arah negatif.
“Identiti Kang Daniel sebenarnya lain sangat. Peminat melihat dia sebagai seorang yang bertanggungjawab dan memimpin. Namun, sebaliknya Kang Daniel seorang yang bersikap kebudak-budakan. Daniel juga sering ketawa dan buat lawak dengan setiap perkara. Adakala, dia merasa lucu dengan perkara yang tidak sepatutnya,” ujar Jinyoung.
Selain Daniel, Jinyoung turut menjelaskan keakraban dia bersama Hwang Minhyun yang mengundang kontroversi sehingga segelintir pihak melihat mereka seperti pasangan homoseksual.
“Saya perasan hubungan saya dengan Minhyun menjadi semakin rapat. Namun, saya tidak nafikan adakala sikap dia terhadap saya sedikit over. Dia juga sering memberikan ciuman kepada saya,” kata Jinyoung.
Menguatkan lagi apa yang dijelaskan Jinyoung, Hwang Minhyun mengakui sering beri perhatian kepada Jinyoung yang merupakan adik dalam Wanna One.
“Saya memang suka skinship. Jinyoung memang sangat comel seperti bayi. Jadi, saya rasa ia adalah satu beban bagi dirinya sendiri,” kata Minhyun.