Selamat tinggal, G-Dragon. Rata-rata peminat bintang terkenal K-pop mengucapkan selamat tinggal kepada penyanyi kesukaan mereka ini yang mana bakal meninggalkan dunia hiburan selama dua tahun.
Ahli kumpulan BigBang, G-Dragon dilaporkan telah pun berangkat memasuki latihan ketenteraan yang wajib disertai bagi semua warga yang berjantina lelaki yang cukup sifat di negara Korea Selatan.
Rapper serta penyanyi yang bernama sebenar Kwon Ji Yong itu memulakan latihan ketenteraan dengan mengikuti lima minggu kem latihan asas bermula Selasa lalu (27 Feb).
Agensi pengurusan G-Dragon, YG Entertainment sebelum ini mengatakan yang mereka tidak akan mengadakan majlis perpisahan buat G-Dragon dan peminat, serta menambah yang bintang itu mahu memulakan khidmat negara itu secara senyap.
Namun, pada Selasa lalu, peminat dari seluruh dunia berkumpul di kem latihan di Cherwon, daerah Gangwon untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bintang popular itu.
G-Dragon, 29, dijadualkan untuk selesai dari khidmat negara pada 29 November 2019. Dia merupakan yang kedua dari lima ahli kumpulan BigBang yang kini memulakan latihan ketenteraan. Rakan kumpulannya, T.O.P kini sedang berkhidmat sebagai pekerja perkhidmatan awam dan seorang lagi, Taeyang, bakal memasuki kem tersebut pada bulan Mac ini.