Sempena ulang tahunnya yang ke-43, David Beckham mendapat kejutan istimewa dari anak sulungnya, Brooklyn Beckham sehingga menitiskan air mata.
Brooklyn yang kini meneruskan pelajaran di sebuah universiti di New York terbang ke England semata-mata untuk membuat kejutan di sambutan ulang tahun ke-43 bapanya, dan boleh kata bekas pemain bola sepak dunia itu tidak menyangka akan anak pertamanya itu bakal berada di situ.
Menerusi video yang dirakamkan dan dikongsikan oleh David dan isterinya, Victoria di Instagram, Brooklyn dilihat sedang berjalan masuk ke dalam sebuah restoran di mana keluarga Beckham sedang menjamu selera.
“David,” ujar Victoria kepada suaminya agar memandang ke arah belakang ketika Brooklyn berjalan menuju ke meja mereka. Pabila David melihat anak lelakinya itu, dia terus menitiskan air mata sambil bertanya berulang kali, “What are you doing here?”
“Are you okay? Happy birthday,” jawab Brooklyn sambil memberikan pelukan kepada bapanya. “I just landed.”
Keterujaan David tidak dapat dikawal dan terus memberikan anaknya itu ciuman di pipinya. “I didn’t know you was coming in,”katanya kepada Brooklyn. “I missed you so much.”
Bahkan, anak bongsu kepada David, Harper yang kini berusia 6 tahun juga tidak menyangka yang abangnya itu akan turut serta di sambutan ulang tahun bapanya itu, “I didn’t know Brooklyn was coming.”
David turut memuat naik video yang dirakamkan itu dengan kapsyen teruja akan kehadiran anaknya yang sanggup terbang dari New York ke England.