Istimewa bulan Ramadan kali ini, EH! KOREA BUZZ BY HYUNMIN-A membawakan anda kisah menyayat hati seorang warganegara Korea yang beragama Islam sepanjang bulan puasa. Segala kisah yang dikongsi bersama ini adalah untuk memberitahu anda realiti sebenar liku-liku perjalanan seorang insan Islam bangsa Korea tulen.
Diharap kisah yang dikongsikan seorang usahawan Kosmetik Halal Korea ini dapat membuka lembaran baru dan mendapat respon baik umat Islam di Malaysia. Sesungguhnya, walaupun berlainan bangsa tetapi insan ini tetap saudara seislam. Moga apa yang dikongsi ini mendapat keberkatan.
MENERIMA SINDIRAN DAN EJEKAN SEPANJANG HARI BERPUASA
“Assalamualaikum. Nama saya Ahmad Cho. Saya mula menganut Islam pada tahun 1990. Kini saya hidup sebagai orang Islam bersama keluarga saya. Saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai seorang usahawan Kosmetik Halal Korea.
Secara sejujur, pada tahun pertama saya menganut agama Islam, saya tidak dapat berpuasa pada tahun pertama bergelar sebagai lelaki Islam. Namun, Alhamdulillah, pada tahun kedua saya telah mula berpuasa walaupun cabarannya begitu kuat.
Pada hari pertama berpuasa, saya mengalami kesukaran yang mana saya berasa semakin panas dan tidak selesa. Saya berasa begitu dahaga sekali. Syukur, segalanya telah berubah kini dan saya sangat gembira menjalani ibadah puasa.
Pada kebiasaannya, saya akan bersahur di rumah dengan hanya makan buah-buahan dan minum air saja. Untuk berbuka puasa pula, saya kerap ke masjid untuk iftar bersama jemaah Islam yang lain. Pihak Masjid Besar Seoul telah menyediakan makanan untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan. Antara menu yang biasa adalah nasi, pelbagai jenis masakan kari dan beberapa jenis Salad.
Terus-terang saya katakan, di bulan Ramadan cabaran paling utama yang saya hadapi adalah gaya hidup. Kami tetap menjalani gaya hidup yang sama seperti bulan yang lain yang mana waktu bekerja kami tetap sama dan tidak berubah seperti negara Islam yang lain. Saya tidak akan berbohong bahawa saya hampir putus asa untuk tidak berpuasa di awal saya mula berpuasa.
Kehidupan sebagai umat Islam di Korea tidak ada yang istimewa sepanjang Ramadan. Yang berubah cuma saya akan menyertai majlis berbuka puasa dan pergi solat terawih secara berjemaah di Masjid Besar Seoul.
Saya tidak boleh nafikan, tatkala saya mula berpuasa, saya banyak menerima sindiran dan ejekan dari kawan Korea lain yang bukan beragama Islam. Di awal dulu, mereka selalu berkata kepada saya, makan sajalah mana ada orang lain nampak dan tahu kalau makan di bulan puasa.
Bagaimanapun, pandangan dan sindiran ini berubah saban tahun dan mereka tidak lagi ejek atau ganggu saya berpuasa. Malah, kini mereka tahu dan menghormati saat saya berpuasa. Alhamdulillah segalanya berubah perlahan-lahan.
Secara positif, pengalaman saya ini membuatkan orang Korea atau sesiapa saja boleh memahami anda sekiranya anda buat suatu perkara dengan jujur dan fokus serta memberikan ekspresi yang baik bagi mereka yang bukan beragama Islam.
Setakat ini, saya masih belum berpeluang dan berkesempatan berpuasa di negara orang. Kalau diberi peluang, saya dan keluarga teringin sangat untuk berpuasa di Malaysia. Saya banyak kali telah mengunjungi Malaysia, tetapi saya masih belum ada kesempatan untuk berpuasa di sana. Saya betul-betul mahu merasai atmosfera menyambut Ramadan dan Syawal di negara luar terutama sekali Malaysia.
Selain berpuasa, umat Islam di Korea juga tidak membuat sebarang persediaan untuk Syawal. Kami tidaklah sibuk bersiap sedia untuk menyambut Syawal. Kami hanya akan solat hari raya secara berjemaah di Masjid saja. Oleh itu, saya teringin sangat beraya di negara luar yang difahamkan sangat meriah dan menyambutnya selama sebulan dengan menziarahi sanak-saudara serta menikmati pelbagai juadah yang sedap.
Nikmat Ramadan saya adalah dengan menyertai iftar dan solat terawih di Masjid. Di Korea, kami hanya solat terawih lapan rakaat saja tidak seperti negara Islam yang lain. Apapun, kepada anda yang berminat untuk berpuasa di Korea, anda dijemput hadir ke majlis berbuka puasa di Masjid Besar Seoul kerana anda boleh berjumpa hampir ke semua umat Islam di Korea. Namun, kepada yang ingin merasai hari raya di Korea, saya nasihatkan lebih baik anda meraikannya di negara anda kerana di Korea tiada sambutan istimewa diadakan.”