Gambar : TPGimages
The Duke and Duchess of Sussex telah berkongsi portret rasmi perkahwinan Diraja mereka yang dirakam bersama seisi keluarga. Menerusi gambar itu, Putera Harry masih tidak melupakan untuk memberi penghormatan terhadap mendiang ibunya, Puteri Diana.
Portret rasmi itu dirakamkan di Green Drawing Room di Windsor Castle selepas pasangan Diraja itu selesai berarak menaiki pedati berkuda. Gambar itu telah dirakam oleh jurugambar fesyen, Alexi Lubomirski yang mana sebelum ini mengambil gambar pertunangan pasangan itu di Frogmore House di Windsor pada hujung tahun lalu.
Gambar pertama yang dikongsikan merupakan satu gambar yang cukup epik memperlihatkan seluruh anggota keluarga kerabat Diraja (kecuali bayi Diraja terbaru, Putera Louis yang baru sahaja berusia empat minggu), anggota si kecil dan ibu kepada Meghan, Doria Ragland.
"The Duke and Duchess of Sussex ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam keraian perkahwinan mereka pada Sabtu lalu. Mereka merasakan sangat bertuah kerana dapat berkongsi hari bahagia mereka bersama anda semua yang turut sama berkumpul di Windsor dan tidak lupa pada mereka yang menonton di kaca televisyen di United Kingdom, Komanwel dan seluruh dunia," ujar jurucakap dari Kensington Palace.
"Their Royal Highnesses sangat teruja dengan portret rasmi yang diambil oleh Alexi Lubomirski dan sangat berbesar hati untuk berkongsi rakaman ini kepada umum pada hari ini. Mereka juga mahu mengucapkan terima kasih buat semua mesej yang menyokong mereka."
Salah satu gambar tersebut turut memaparkan gambar Harry dan Meghan bersama pengiring rasmi mereka, si comel page boys dan pengapit perempuan. Diketuai oleh anak saudara lelaki dan perempuan pasangan Diraja itu, Putera George dan Puteri Charlotte, lapan orang kanak-kanak lain termasuklah beberapa anak angkat kepada Harry dan Meghan serta anak kepada sahabat mereka : Florence van Cutsem, 3 tahun ; Remi Litt, 6 tahun dan kakaknya Rylan, 7 tahun ; Ivy Mulroney, 4 tahun ; Zalie Warren, 2 tahun ; Jasper Dyer, 6 tahun ; dan kembar Brian dan John Mulroney, 7 tahun.
Pasangan pengantin Diraja ini turut dirakam untuk sekeping gambar romantis black-and-white yang hanya mereka berdua sahaja. Ia dirakamkan hanya beberapa ketika selepas mereka selamat berkahwin. Jelas terpancar kebahagiaan dan kegembiraan di wajah mereka menerusi senyuman yang terukir manis.