Teks: Khairul Abidin
Selain dekorasi serba cantik, bau harum seisi ruang St George’s Chapel juga mencuri perhatian di #royalwedding yang berlangsung Sabtu lalu.
Selain kisah persalinan Givenchy yang serba sederhana Meghan Markle menjadi buah mulut serata dunia, ada banyak detil tentang majlis bersejarah itu yang menarik perhatian.
Terbaru, Diptyque, label kecantikan dan gaya hidup dari Paris mendedahkan bahawa Putera Harry dan Meghan Markle telah memilih lilin Diptyque untuk mengharumi keseluruhan ruang St George’s Chapel di Windsor Castle yang menjadi lokasi rasmi majlis perkahwinan mereka berdua.
Diptyque yang mula diasaskan pada tahun 1961 mendedahkan bahawa kedua-dua mempelai memilih sendiri aroma yang ingin digunakan daripada pelbagai pilihan lilin wangi yang dicadangkan oleh Diptyque.
Namun lilin yang menjadi pilihan kedua-dua pasangan di-raja itu dirahsiakan namun ada juga khabar angin mengatakan mereka memilih ‘Tubéreuse’ untuk menyempurnakan gubahan bunga yang disempurnakan Philippa Craddock.
Menurut Fabienne Mauny, Pengarah Urusan Global Diptyque, Diptyque sangat berbangga pabila terpilih untuk menjadi sebahagian daripada hari bersejarah itu.
“Kami cukup tersentuh pabila secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada keraian bersejarah ini. Tambah istimewa salah seorang pengasas Diptyque sendiri yakni Knox Leet adalah berasal dari Britain,” tambahnya.