Gambar: Aaron lee (Lensworks Production)
Arahan Seni: Zulkifli Sulaiman & Yantie Basharudin
Teks & Penata Gaya: Khairul Abidin Ishak
Pembantu: Razin Mohd
Penyelaras Pakaian: Julia Azman
Juruvideo: Farhana Fuad
Pakaian: Himpunan Lebaran Nurita Harith, Fiziwoo, Jovian Mandagie & Innai Red
Aksesori: Swarovski
Berkahwin pada November 2016, tidak sampai setahun usia perkahwinan jelitawan ini bertambah status baru. Hari ini Amyra Rosli bahagia menyelusuri kembara baru bergelar ibu.
Sangat sibuk! Itulah yang boleh saya simpulkan tentang jadual kerja Amyra Rosli. Bagaikan bau jamu pun belum habis hilang, Amyra pantas kembali ke lokasi melunaskan kecintaannya kepada dunia lakonan. Saya sendiri terpaksa menunggu dua bulan untuk mendapatkan tarikh Amyra untuk penggambaran ini. Malah saya terpaksa berkomunikasi sendiri dengan pihak produksi, bukannya dengan ibu Amyra yang mesra saya panggil kak Nor seperti selalu. Empat hari sebelum penggambaran barulah kami mendapat kata sepakat tentang tarikh penggambaran.
Pagi itu Amyra datang bersama ibunya, adik, sepupu serta anak kesayangannya Aqeef Anaqi. Selalu melihat wajah Anaqi di media sosial sahaja, hari itu saya berpeluang melihatnya dengan sepasang mata sendiri. Comel! Keningnya lebat, matanya bundar, dan paling saya suka tentang Anaqi ialah dia tidak banyak ragam, suka tersenyum dan sedikit pun tidak menganggu proses penggambaran.
“Geramnya tengok mata Anaqi,” kata saya kepada Amyra.
“Masa mula-mula lahir dulu, mata hitamnya penuh satu mata, mata putih tak nampak langsung,” balas Amyra tersenyum.
Pagi Sabtu itu kami hanya ada tiga jam sahaja untuk melunaskan penggambaran ini bersama bintang yang mula menyerlah menerusi drama Tersuka Tanpa Sengaja dan Cik Bunga Encik Sombong. Dan ya, walaupun tiga jam sahaja termasuk bersolek dan dandanan, kami seisi studio lebih dari berpuas hati dengan hasil gambar-gambar yang kami rakamkan. Aksi Amyra di depan lensa nampak bersahaja, mana-mana sudut dia tampak cantik. Sesekali kali lihat wajahnya seiras wajah bintang Bollywood, Deepika Padukone. Mata Amyra bagai berbicara dengan lensa, pantas menangkap mata yang memandang. Pagi itu kami memakaikan Amyra dengan himpunan raya daripada Nurita Harith, Innai Red, Fiziwoo dan Jovian Mandagie. Dan kami sempurnakan look Amyra dengan aksesori berkilau daripada Swarovski. Setiap helaian digayakan memang kena, lekuk tubuh Amyra tampak sempurna, malah lebih langsing berbanding sebelum berkahwin dulu.
The New Chapter
Perbualan saya dan Amyra pagi itu pastinya banyak menjurus kepada kisah anaknya, Aqeef Anaqi yang baru saja mencecah usia lima bulan (sewaktu penggambaran muka depan ini). Kata Amyra, anaknya itu memang ‘good boy’, tidak banyak meragam mudah dijaga.
“Dia sudah biasa ikut saya bekerja, dan Mama atau Amar akan tolong tengok-tengokkan,” jelasnya.
Kongsi Amyra dengan saya, anaknya itu mudah diurus. Malah sebaik sahaja dilahirkan anaknya itu tidak menangis, selepas beberapa minit barulah terdengar tangisannya.
“Amyra masa kecil dulu macam ni lah. Bila Kak Nor pergi kerja, memang Kak Nor akan bawa dia ikut sekali, dan dia akan duduk dekat satu ruang dan buat hal sendiri. Sikit pun tak kacau,” celah ibu Amyra yang mesra dipanggil kak Nor.
Jika ada yang tidak tahu, ibu Amyra sebelum ini memang sudah lama aktif dalam dunia showbiz, dan pernah berkhidmat untuk syarikat rakaman Warner Music.
Beberapa bulan lalu Amyra terbang ke Seoul untuk penggambaran kempen baru aiskrim Baskin Robbins. Pengalaman sulungnya terbang bersama bayi lelakinya itu cukup menerujakan.
“Myra memang risau sebenarnya, kita tak tahu ragam dia bila dalam kapal terbang kan. Untuk keselesaan dia kita terbang dengan business class. Dan bila dah terbang dengan business class kita pula mestilah pastikan anak kita tak meragam kan. Nanti orang bising pula, sebab orang lain bayar lebih sebab mahu lebih selesa. Mujur sebaik bermula penerbangan sampailah ke sana, dia tak banyak meragam. Senyap sahaja. Tidur pun lena. Dan dia boleh tahan dengan cuaca sejuk di sana. Jadi lepas ni bolehlah berjalan jauh lagi, “ ceritanya sambil ketawa.
“Saya tak pernah terbayang pun bagaimana perjalanannya,” singkat jawapan Amyra saat saya bertanyakan adakah dia sudah membayangkan seronoknya bergelar ibu.
“Dari mula pregnant saya sudah rasa seronok. Bagi saya journey waktu hamil sangat indah. Sangat best sebenarnya. Memang tak dinafikan memang ada rasa letih sebab semuanya jika boleh saya mahu uruskan sendiri tapi yang indahnya banyak. Myra misalnya akan sentiasa looking forward benda atau perkembangan baru Anaqi, nak tunggu dia tumbuh tinggi, merangkak, berdiri, berjalan dan macam-macam lagi. Saya percaya perasaan ini mana-mana wanita bergelar ibu berkongsi keterujaan yang sama.” Kongsi Amyra lagi, anaknya itu membesar cepat dan diakui oleh doktor sendiri. “Doktor kata Anaqi agak advance pembesarannya, duduk cepat dan sekarang boleh meniarap sendiri,” tambahnya yang melahirkan Anaqi secara normal pada 15 Oktober tahun lalu.
Diuruskan oleh ibunya sendiri sedikit sebanyak memudahkan untuk Amyra dan Amar menyusun jadual kerja mereka.
“Bila sibuk, biar dua-dua sibuk, bila cuti biar sama-sama cuti, jadi saya dan Amar boleh merancang untuk berehat ke mana-mana.”
Tambah Amyra lagi dia beruntung kerana ibunya memang banyak membantu dia menguruskan anaknya saat dia sibuk di lokasi.
“Apa yang Amyra looking forward sekali untuk hari raya tahun ini?” saya mengajaknya berbicara tentang lebaran.
“Bila raya antara benda paling awal yang orang selalu fikir ialah fasal fesyen atau baju raya. Itu antara benda yang kita selalu kaitkan dengan raya selain perihal berkumpul bersama keluarga. Amyra sendiri memang looking forward nak dress up kan Anaqi tapi dia baby boy jadi tidak sukar mencari apa yang sesuai, tidak perlu terlalu fancy. Jika dulu baju raya ikut keluarga saya atau famili Amar, tahun ini kami sendiri boleh pilih warna untuk kami sekeluarga sendiri.”
Lagi satu yang menarik tentang sambutan hari raya tahun ini, Amyra sekeluarga (bersama suaminya Amar dan permata sulungnya Anaqi akan menjadi wajah kempen Aidilfitri TV3.
“Inilah pertama kali kami sekeluarga bekerjasama. Ia sesuatu yang saya cukup nanti-nantikan.”
Berbicara tentang rutinnya bila meraikan Aidilfitri, jelas Amyra sejak dulu lagi dia sekeluarga akan mengambil kesempatan untuk pergi bercuti.
“Saya dan Amar memang beraya di sini saja, keluarga Amar di kajang dan saya di Melawati, jadi dalam sehari dua kami dah sempat untuk beraya di rumah-rumah sanak saudara lain. Family trip ni seronok sebab meriah, dan keluarga Amar pun akan turut serta.”
Bila ditanya tentang amalan rayanya sejak dulu lagi, jelas Amyra dari dulu lagi ibunya sudah membiasakan mereka sekeluarga untuk melawat pusara pada hari raya pertama sebaik selesai solat sunat Aidilfitri.
“Itu sudah jadi kewajipan,” ujarnya.
“Biasanya hari raya pertama saya akan habiskan masa bersama keluarga Amar, dan kemudian akan pulang ke Malawati untuk melawat adik-beradik mama yang lain,” ujar pemilik nama penuh Nur Amira Izzati binti Rosli ini.
*Dapatkan majalah EH! isu Jun 2018 untuk baca rencana penuh temubual bersama Amyra Rosli.