Bermesra di hadapan khalayak ramai merupakan satu perkara yang perlu dielakkan oleh golongan Diraja Britain, apatah lagi pabila di hadapan Ratu Elizabeth II.
Putera Harry dan Meghan Markle sering dilihat berpegangan tangan kala hadir di majlis-majlis rasmi tetapi ketika kemunculan mereka pada minggu lalu, pasangan diraja yang baru berkahwin ini dilihat cuba mengelak dari berpegangan tangan atas satu sebab iaitu kerana kehadiran Ratu Elizabeth II.
Ketika majlis Young Leaders Reception di Istana Buckingham pada 26 Jun lalu, penonton diraja dapat melihat momen di mana Meghan seakan cuba untuk menyentuh tangan suaminya, namun Harry dengan segera menggenggam tangannya sendiri sebagai satu tanda untuk mengelak dari berpegangan tangan dengan isterinya itu.
Harry tahu akan etika diraja pabila bersama dengan neneknya Ratu Elizabeth II dan Meghan dilihat masih dalam fasa mempelajari segala protokol diraja.
Ratu Elizabeth dan Putera Philip tidak pernah menonjolkan kemesraan di tempat awam. Meskipun mereka sudah 70 tahun berkahwin, mereka tidak pernah dilihat berpegang tangan di khalayak ramai dek kerana ‘stoic values‘ generasi mereka, menurut biografer diraja, Gyles Brandreth.
Kemesraan Harry dan Meghan di hadapan ramai seakan satu perkara baru dalam keluarga diraja itu. Kesopanan tertentu cenderung menjadi norma apabila menyentuh soal outing diraja. Sebagai contoh Putera William dan Kate Middleton yang dilihat jarang bermesraan di tempat awam.
Menurut pakar etika diraja Myka Meier, “Ia satu perkara yang jarang kita lihat pasangan diraja berpegangan tangan ketika outing diraja. Ketika kita jarang melihat The Duke dan Duchess berpegang tangan di tempat awam, kita sering melihat Putera Charles dan The Duchess of Cornwall berpimpin tangan – ia sebenarnya bergantung pada pasangan itu sendiri dan ia juga bergantung pada situasi dan keadaan di sekeliling serta jenis majlis yang dihadiri. Penglibatan yang lebih serius akan menjamin tahap profesionalisme yang lebih serius, yang mana setiap diraja perlu mematuhinya.”
Sejak pasangan Harry Meghan membuat kemunculan bersama di Invictus Games pada September tahun lalu, mereka mula berpegangan tangan, membelai tubuh belakang masing-masing dan adanya bersimpul lengan antara satu sama lain di khalayak ramai yang mana majoritinya jarang dilihat pada William dan Kate.
Tetapi kini Meghan telah pun secara rasmi bergelar kerabat diraja, mereka mungkin cuba mengelak dari terlalu dekat kala bersama, lebih-lebih lagi ketika hadir di upacara diraja.