Tidak mahu sebuah majlis besar-besaran, Justin Bieber dan Hailey Baldwin yang baru sahaja bertunang ketika bercuti di Bahamas dikatakan mahukan sebuah majlis perkahwinan yang kecil-kecilan sahaja.
Pasangan popular Hollywood ini bertunang hanya selepas sebulan mereka kembali bersama dan sekarang ini telah hangat diperkatakan tentang majlis perkahwinan mereka nanti.
“Buat masa sekarang, mereka hanya mahukan sebuah majlis kecil-kecilan bersama keluarga. Mereka tidak merancang untuk mengadakan resepsi besar-besaran, atau majlis perkahwinan selebriti. Mereka akan berkahwin demi cinta dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk,” kata sumber rapat dengan Bieber kepada portal PEOPLE.
Selepas penyanyi lagu Sorry itu melamar Baldwin di Bahamas, pasangan itu terus terbang ke New York City di mana model itu dikatakan menunjukkan cincin pertunangannya yang berbentuk oval-cut.
Rabu lalu, bintang itu meluangkan masa bersama bapa kepada Baldwin iaitu Stephen. Bieber mengesahkan berita pertunangannya pada Isnin lalu menerusi entri di Instagramnya.