Teks : Anis Hanini
Diambil dari isu November 2017
Figura terkenal ini memulakan karyanya dalam bidang seni sebagai seorang pelawak namun dia mula menonjolkan sisi yang lebih serius bermulanya penglibatan diri di sebalik tabir.
Kelakar dan benar-benar mencuit hati. Itu yang paling tepat untuk saya gambarkan Nabil Ahmad. Sebaik sahaja dia melangkah tiba di studio penggambaran, suasana studio mula berubah. Kebetulan pula ketika penggambaran, Bront Palarae berada di studio sebelah untuk penggambaran bersama majalah lain, kedengaran gelak ketawa yang kuat memecah suasana tenang sebelum ini. Dalam helaian pertama, Dior Homme, saya ujar kepada Nabil untuk pose persis model luar negara dan dia sahut cabaran tersebut. Hasilnya beberapa keping gambar yang banyak mengingatkan saya kepada Stephen Curry, pemain bola keranjang Amerika Syarikat malah Nabil sekali lagi tergelak kuat setelah mendengar komen tersebut.
Nabil Ahmad memulakan kariernya dalam industri hiburan tanah air setelah menyertai Raja Lawak pada tahun 2008. Dia berjaya merangkul takhta juara bukan atas dasar nasib semata-mata, lawak-lawak yang disajikan oleh Nabil segar dan sedikit pedas. Titik permulaan ini membuka pintu kepada Nabil untuk mengembangkan sayapnya dalam industri, dan sehingga kini kariernya semakin mekar. Selain melawak, Nabil turut berlakon namun dia lebih aktif sebagai pengacara televisyen untuk Gegar Vaganza (bersama Jihan Muse) dan MeleTOP (bersama Neelofa). Kini Nabil lebih sibuk mengendali produksi tersendiri, Nabil Production dan ini menjadi keutamaannya.
Kata Nabil, “Ia sesuatu yang baru untuk saya pelajari dan terokai. Menjadi orang di sebalik tabir untuk menulis skrip, menjadi penerbit, terlibat sendiri dalam perbincangan amat menarik minat saya buat masa sekarang. Dan buat masa sekarang saya ingin membina profil untuk produksi ini. Jadi jika saya menerima apa-apa sahaja tawaran sama ada untuk sitcom atau gameshow atau televemovie, saya akan terima walaupun tidak mendapat keuntungan banyak atau tiada keuntungan langsung.”
Kelainan yang cuba dibawa oleh Nabil boleh dilihat pada sitkom 13 episod berjudul Bus Stop yang disiarkan di Astro Warna yang menampilkan pelakon terkenal seperti Sherry Al-Hadad, Ebby Yus serta Angah Raja Lawak, dan program Tazkirah Viral yang bersiaran di Astro Oasis. Malah dia turut menerbitkan gameshow Fan Fanatic serta telemovie, The Hantu’s yang bakal dilakonkan oleh Alif Satar.
“The Hantu’s ini tentang seorang lelaki yang mengikut teman wanitanya ke Genting Highland kerana teman wanitanya ingin bekerja sebagai barista di sebuah kafe di sana. Selepas beberapa bulan bekerja, dia mendapat tahu bahawa teman wanitanya curang dengan pengurus kafe tersebut. Dia patah hati dan mengambil keputusan untuk turun dari Genting Highland namun terlibat dalam kemalangan. Walaupun dia percaya dia masih hidup, sebenarnya dia telah menjadi hantu dan mula berjumpa dengan hantu-hantu lain termasuk hantu kereta Volkswagen kuning serta hantu Kak Limah,” ujar Nabil yang turut berkongsi bahawa pemandu kereta Volkswagen tersebut mungkin dilakonkan oleh Faizal Hussein.
“Adakah Nabil akan berlakon dalam cerita-cerita terbitan Nabil sendiri?” tanya saya.
“Sebenarnya saya tidak pandai berlakon dan saya juga tidak gemar berlakon! Bagi saya seorang pelakon sebenar adalah seperti Zahiril Azim, Sharifah Amani, Amaerul Affendi ataupun Bront Palarae. Mereka adalah pelakon sebenar yang dapat menjiwai watak dengan tepat. Lihat sahaja pelakon-pelakon baru sekarang. Ramai yang menggelar mereka pelakon kayu, dan ini membuatkan saya kasihan pada mereka. Saya sendiri pernah lalui apa yang mereka lalui. Pelakon-pelakon sekarang hanya mula belajar berlakon di set penggambaran dan ini sebenarnya membuatkan mereka tampak kaku. Jika dibandingkan dengan pelakon berpengalaman, mereka pandai berlakon kerana mereka telah lama menapak nama dalam industri ini dan miliki pengalaman yang tidak ternilai. Oleh sebab itu, saya ingin membuka sebuah workshop untuk mengajar pelakon-pelakon baru ini cara untuk berlakon,” ujar Nabil.