Sejak beberapa bulan lalu peminat berspekulasi, akhirnya tanggal 1 Ogos 2018, jenama rangkaian busana dari Korea – SPAO di Malaysia telah mengumumkan kumpulan K-pop Highlight sebagai duta terbaru mereka. Kumpulan yang dianggotai oleh Yoon Doojoon, Yong Junhyung, Yang Yoseob, Lee Gikwang dan Son Dongwoon ini telahpun mengadakan fotografi kempen musim luruh/dingin 2018 di Seoul baru-baru ini. Wajah mereka sudahpun terpampang secara eksklusif di butik SPAO yang terletak di Parkson Elite Pavilion, IOI City Mall, Sunway Velocity Mall dan juga Paradigm Mall Johor Bahru.
Dikenali sebagai kumpulan Beast sebelum ini, Highlight tampil lebih berkeyakinan dengan penubuhan syarikat mereka sendiri pada 2017 selain dari aktif melancarkan album kumpulan dan album solo. Masing-masing turut mengembangkan bakat dalam bidang lakonan yang mana Yoon Doojoon sedang menjalani penggambaran drama Let’s Eat 3, Yong Junhyung dalam drama Coffee, Do Me A Favour dan Lee Gikwang dalam drama Lovely Horribly. Sementara Yang Yoseob dan Son Dongwoon juga sibuk mengendalikan program radio masing-masing.
Highlight yang juga sering dijemput untuk pelbagai program tv realiti dan hiburan mempunyai latar kerjaya yang bersih sejak mereka mula menjejakkan kaki dalam dunia k-pop pada 2009. Antara kumpulan k-pop yang paling berpengaruh, lima anak muda ini cukup dikenali dengan gaya hebat mereka menjadikan Highlight bintang paling sesuai sebagai duta SPAO yang menawarkan rangkaian kasual, formal, gaya sukan serta aksesori.
Ternyata berita dari SPAO ini membuatkan peminat Highlight yang dikenali dengan panggilan Lights terutama di Malaysia gembira dan mula berkunjung ke cawangan SPAO berdekatan untuk miliki koleksi terbaru SPAO mahupun “bergambar” dengan idola mereka melalui poster kempen yang diletakkan di sekitar butik.
Walaupun kumpulan yang popular dengan lagu Fiction, Beautiful Night, On Rainy Days, Shadow, Good Luck serta hit terbaru mereka dibawah nama Highlight seperti Plz Don’t Be Sad, Can Be Better & Calling You; tidak berada di Malaysia dalam waktu terdekat, tentunya peminat menanti kehadiran mereka satu hari nanti bersama SPAO. Buat masa sekarang, Lights boleh melepaskan rindu dengan berkunjung ke butik SPAO atau tonton semula klip video mereka ini…