Teks : Muzammin Muzlan
‘Fashion is not something that exists in dresses only. Fashion is in the sky, in the street, fashion has to do with ideas, the way we live, what is happening.’ – Coco Chanel
Hadir Januari ini, bermulalah musim majlis anugerah antarabangsa yang akan menyaksikan bintang-bintang Hollywood berjalan dalam adibusana couture rumah fesyen nan agung. Dan pasti ramai yang akan melontarkan pendapat yang ajnas untuk memilih senarai best dressed. Rakan-rakan sepejabat saya turut mempunyai pilihan tersendiri. Perlu diingat setiap orang mempunyai pendapat atau cita rasa masing-masing.
Tapi saya melihat terdapat percanggahan idea yang timbul bila ramai yang melihat cantik itu sebagai stylish. Tidak boleh dinafikan, wanita mahupun lelaki lebih suka melihat pada benda yang cantik. Kekeliruan ini wujud pabila ramai tidak menilai gaya seseorang itu dari hujung rambut ke hujung kaki. Best dressed bukan bermaksud gaun siapa yang paling cantik, tapi bagaimana selebriti itu memilih untuk menggayakan secara keseluruhan dengan mengambil kira semua aspek; solekan, dandanan rambut, pilihan aksesori kemas, beg kepit dan juga sepatu.
Saya merasakan waktu terbaik melihat stail sebenar seseorang itu dengan melihat gayanya ketika menghadiri acara yang lebih santai dan tidak formal, termasuklah gaya jalanan mereka. Sebagai contoh, saya berpendapat Scha Alyahya dan Diana Danielle mempunyai stail yang sangat berbeza. Kedua-duanya dianugerahi dengan kecantikan semula jadi. Tapi bila berbicara mengenai fesyen, Scha Alyahya sudah tentu mempunyai stail peribadi yang lebih tersendiri. Dia tahu apa yang sesuai digayakan untuk setiap acara, cukup natural dan tidak pula kelihatan mencuba. Diana Danielle pula tampil lebih relaks dan mudah. Mungkin dia gemarkan gaya yang selesa dengan stail lebih santai.
Anda tidak perlu cantik untuk bergelar jaguh fesyen. Hanya memerlukan ilmu fesyen untuk membezakan what’s hot dan what’s not juga sesorang itu harus menyuntik sentuhan peribadi agar gaya itu lebih peribadi dan unik. Tidak perlu berbelanja ribuan ringgit itu tampil bergaya. Saya sarankan agar semua termasuklah selebriti Malaysia untuk mendapatkan nasihat daripada barisan penata gaya professional. Dan bukan semata-mata hanya mendengar ‘nasihat’ daripada pereka fesyen mahupun jurusolek. Seperti ayat keramat legenda fesyen Yves Saint Laurent “Fashions fade, style is eternal.”