Bermula dengan berputiknya cinta, diikuti dengan sebuah perkahwinan dan kini menukar nama di akaun media sosial.
Berita mengenai pasangan terhangat Hollywood iaitu Justin Bieber dan Hailey Baldwin kini diperkuatkan lagi kebenarannya pabila model Amerika ini menukar namanya di Instagram pada hujung minggu lalu.
Kini dia memegang nama Hailey Rhode Bieber, yang mana membawa nama keluarga Justin Bieber. Menurut TMZ, Justin turut terlibat dalam proses makeover akaun media sosial Hailey tersebut. Sekaligus dengan penukaran nama tersebut juga dilihat seakan satu proses rebranding.
Bahkan, Hailey turut telah membuat trademark atas nama tersebut. Justin juga dikatakan telah menggunakan nama tengahnya untuk tujuan penjenamaan yang mana dia akan mengeluarkan rangkaian pakaian yang dipanggil ‘Drew’.
Proses penukaran nama di akaun Instagram Hailey tersebut adalah berikutan Justin memuat naik sekeping gambar mereka dengan kapsyen seakan membuat pengakuan akan perhubungan mereka sebagai suami isteri dengan memanggil Hailey adalah isterinya yang awesome pada minggu lalu.
TMZ juga melaporkan yang mana baru-baru ini Hailey telah dilihat di New York City memakai jaket denim dengan nama ‘Bieber’ pada bahagian belakangnya, ia seakan satu lagi bukti yang mana dia kini sedang menyebatikan nama Bieber di dalam kehidupannya.
Pasangan ini dikatakan mendapatkan sijil perkahwinan mereka pada bulan September lalu meskipun belum lagi mengadakan majlis perkahwinan. Hailey menyatakan yang mereka merancang untuk mengadakan majlis resepsi mereka pada tahun 2019.