Teks : Azliany Mohamad
“Proses penuaan merupakan satu perjalanan yang menyeronokkan untuk dilalui. Saya enjoy melalui proses ini.”- Fauziah Latiff
Saat melihat kelibat penyanyi Fauziah Latiff, terasa bagai tidak percaya bahawa saya akan melakukan sesi penggambaran bersama pelantun suara lagu Teratai Layu Di Tasik Madu. Semuanya bermula apabila editor saya memberi cadangan untuk memanggil legenda pop ini.
Hadir ke studio dengan gaya yang serba ringkas; blaus putih berganding denim biru. Penampilannya diserikan dengan lilitan scarf di leher. Dia murah sekali dengan senyuman, wajahnya cantik bagai tidak dimakan usia.
Bercerita tentang kecantikan, memanggilnya dengan panggilan Kak Gee, dia yang berusia 47 tahun mengamalkan rutin penjagaan kulit yang ringkas dan tidak rumit.
Bila ditanya sejak bila mula bersolek, ini jawapannya “Saya telah menceburi bidang industri ini sejak umur 15 tahun dan saya bertuah kerana berkesempatan untuk berkerjasama dengan ramai jurusolek yang berbakat. Setiap jurusolek mempunyai sentuhan yang berbeza dari situ saya melihat dan belajar. Dalam soal solekan dan seni, saya seorang yang berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan fun”.
Berbicara tentang proses penuaan Kak Gee memberi tahu dirinya tidak sabar untuk memasuki umur 50 tahun. “I’m looking forward when I’m 50. Saya mula berfikir sekiranya masih dikurniakan kesihatan yang sihat, apa yang patut saya lakukan. Selain itu jangan takut atau hadkan diri anda untuk mencuba perkara yang ingin anda lakukan.”
“Ia merupakan pengalaman tentang kehidupan dan bukan sahaja tentang diri kita tetapi berkaitan dengan persekitaran supaya dapat menjadi lebih baik dari segi dalam dan minda kita.”