Sebagai pemerhati muzik, saya sifatkan Hael antara penyanyi yang bijak menyusun strategi dalam memasarkan muziknya. Bermula dengan Hajat yang mana muziknya menentang arus muzik semasa yang ‘layu’ dengan pujuk rayu lagu-lagu lentok 90-an, dia tampil segar lantas ‘jampi serapahnya’ itu memukau juri lalu meletakkannya sebagai penerima Anugerah Juara Lagu tahun lalu. Kemudian dia tampil dengan ‘Haram’ dan memecah rahsia siapa teman duetnya di pentas Anugerah meletop. Kemudian dia menyajikan Hajat, dan ada gimik menarik dalam video muziknya itu. Kemudian, dia melancarkan pula ‘Hari Ini’ versi duet bersama Dayang Nurfaizah di pentas Anugerah Skrin baru-baru ini. EH! menemubual Hael tentang pandangannya tentang dunia muzik hari ini.
Saya lihat Hael bijak mencatur strategi tiap kali muncul dengan lagu baru. Siapakah mastermind di sebalik idea-idea ini?
Jika orang tanya siapa mastermind, sayalah orangnya. Saya berikan gambaran, kemudian pasukan kerja saya akan menambah perisa agar strategi ini lebih menjadi. Lagi satu, demi memastikan apa yang saya mahukan menjadi, saya perlu berbelanja lebih. Saya tak mahu sekadar mengeluarkan lagu dan membiarkan hayat lagu saya bergantung pada nasib semata. Samalah macam orang, bila nak keluar mesti nak pakai lawa-lawa, mekap cantik-cantik. Macam tu juga bila saya lancarkan lagu, takkan nak biarkan ‘bogel’ saja. Jadi penyanyi jangan kedekut untuk spend.
Bila Hael discover bakat menulis lagu?
Sewaktu saya almost give up hendak menyanyi. Rasa putus asa pernah ada dalam diri saya, dan waktu itu saya waktu itu banyak duduk di studio. Saya banyak meluangkan masa bersama Ezra dan dari situ dia mengajak saya untuk jadi co-writer. Dan selalunya kami banyak duduk di toilet untuk mencari ilham. Kenapa toilet? Sebab toilet kan ada bunyi echo sikit, rasa sedap bila kita humming melodi. Dan sememangnya kami memang ada toilet yang tidak digunakan sebagai toilet, kami hias cantik-cantik. Saya percaya ramai juga orang seni lain yang mendapat ilham sewaktu berada di dalam tandas.
Bila Hael cakap tentang current sound tadi, sebenarnya siapa yang jadi rujukan?
Saya mendengar semua muzik. Saya banyak mendengar lagu di Spotify, macam-macam rentak saya dengar. Jika cakap tentang current sound saya rasa lagu Ariana Grande, Thank U, Next antara ritma semasa yang boleh saya sebutkan sebagai contoh. Pembikinan muzik hari ini lebih mudah dengan bantuan programming. Bunyinya lebih kemas namun masih ada elemen live music. Orang kitakan suka campur-campur, macam pan-Asian. Jadi saya kahwinkanlah rentak Melayu dengan bunyi-bunyian semasa, dapatlah anak mix haha!
Mewahkah jadi penyanyi hari ini? Bila ada streaming, orang pun jarang beli lagu di platform digital, jauh sekali CD.
Bila saya keluarkan lagu, saya meletakkan 10 juta tontonan sebagai sasaran. Jika dapat cecah angka itu di Youtube, itu sudah cukup buat saya tersenyum. Sebagai penyanyi kita ada peratusan tertentu yang akan diberikan pada kita.”
Pada pendapat Hael perlukah gimik dalam melancarkan lagu?
Gimik itu membantu, tambahan pula era ini adalah zaman visual. Mata juga mahu dijamu, bukan sekadar telinga. Tapi, ada gimik atau tidak, end of the day ia masih lagi bergantung kepada muzik itu sendiri. Gimik sekadar membantu tapi bukan jaminan.
Apa pendapat Hael tentang situasi dunia muzik hari ini yang seakan ‘racist’ antara penyanyi baru dan penyanyi lama. Senang cakap tentang terma BBNU.
Saya harap hal ini takkan ada lagi pada tahun 2019. Penyanyi baru atau lama, baik pendengar atau pemain industri sendiri kena terima perubahan. Saya tak setuju dengan terma BBNU, bagi saya itu tak bagus. Semua orang perlu hargai muzik antara satu sama lain. Mengapa perlu racist?
Apa pendapat Hael ada sesetengah artis berpendapat mereka tidak perlukan media, mereka ada media sosial sebagai platform untuk menghebahkan semuanya.
Media sosial biarkan di situ, ya ia antara ruang penting untuk kita pasarkan produk kita. Tapi sebagai artis kita masih memerlukan media. Misalnya bila kita muncul di muka depan majalah, ia meletakkan kita di satu kelas yang lain. Ia penyeri dan penguat portfolio kita.