Saya berlepas ke kota Paris minggu lalu atas undangan Chanel. Kali ini saya dijemput untuk menjadi sebahagian tetamu duduk di kerusi pertunjukan himpunan METIERS D'ART 2019/20 yang dinamakan sebagai PARIS - 31 RUE CAMBON. Koleksi ini adalah himpunan debut METIERS D'ART 2019/20 sepenuhnya oleh Virginie Viard selepas pemergian Karl Lagerfeld.
Tapi sebelum saya mengulas tentang himpunan ini, saya mahu terlebih dahulu berbicara tentang solekan model-model yang berjalan melintas pentas peragaan yang berdiri megah di Grand Palais. Menjadikan apartmen Coco Chanel yang terletak di Rue Cambon, paris, ruang set pertunjukan Chanel kali ini tampil cukup ‘bersih’ dan tangga yang menjadi medan pertunjukan koleksi Chanel di zaman awal kemunculannya dihidupkan di lokasi pertunjukan yangs angat sinonim dengan Chanel itu.
Cermin jadi Inspirasi
Dari tempat duduk, saya sudah nampak kelopak mata model-model berkilau-kilau saat mereka menuruni anak tangga di kepala pentas, bagaikan ada berlian. Selain mata terpaku pada helaian ilham Virginie, saya cukup asyik melihat solekan matanya. Jadi siapa yang menjadi mastermind kepada idea solekan sebegitu? Tidak lain tidak bukan pastinya Lucia Pica, orang yang duduk di kerusi pengarah kreatif mekap dan warna global Chanel.
Bila ditanyakan dari mana datangnya inspirasi solekan ini, jelas Lucia ia datang daripada cermin yang melatari tangga ikonik di apartmen Coco Chanel sendiri. Hasil kerja tiap helaian Metiers d’Art juga menjadi sumber ilhamnya. “Saya mahu bermain dengan tekstur dan material,” ujarnya.
“Untuk menghasilkan solekan bibir berkilat dalam warna gincu yang solid caranya ialah dengan mulakan dengan menyalut bibir dengan pensel bibir, kemudian barulah disapukan dengan gincu. Sempurnakan dengan sapuan glos bibir,” kongsinya pabila diminta sebarang tip profesional yang digunakan di belakang pentas kali ini.
Pabila ditanyakan jika ada sebarang produk tertentu yang dia suka sepanjang melengkapkan look kali ini, jawabnya dia cukup sukakan The BAUME ESSENTIEL Transparent. “Ia adalah produk paling tepat dan sempurna untuk menghasilkan solekan kilat pada kelopak mata. Ia menyuntik kesegaran pada keseluruhan penampilan dan highlights nampak lebih semula jadi.”
TIGA LOOK OLEH LUCIA
Gaya Satu
Gaya pertama berilhamkan gaya ‘maskulin feminin’, yang mana Lucia menggunakan BAUME ESSENTIEL Transparent yang dicalit pada sudut dalam mata untuk menangkap cahaya. Dia menonjolkan solekan dengan sapuan mascara tebal, dan dia menggunakan LE VOLUME REVOLUTION DE CHANEL MASCARA 10 Noir.
Gaya Dua
Lucia menggunakan pembayang mata ton perak LES 4 OMBRES 334 Modern Glamour. Sapuannya tertumpu pada kelopak mata dan dilebihkan pada sudut mata berhampiran hidung dan juga pada bawah mata. Gaya ini bersuntikkan gaya 90-an. Untuk kesemua solekan, Lucia menggunakan LE STYLO SOURCILS WATERPROOF dan THE GEL SOURCILS untuk riasan kening yang statement.
Gaya Tiga
Gaya ketiga lebih sofistikated pabila yang ditonjolkan adalah solekan pada bibir. Lucia Pica mencipta bibir mungil dengan sapuan glos yang lebih ekstra. Dia mulakan dengan sapuan LE CRAYON LEVRES 188 Brun Carmin dan diikuti dengan sapuan gincu ROUGE ALLURE VELVET EXTREME 130 Rouge Obscur. Solekan bibir diperkemas dengan sapuan ROUGE COCO GLOSS.
*Gambar ikhsan CHANEL