Comeback pelakon Kacak, Hyun Bin di layar drama Korea menerusi drama Crash Landing On You mencipta sejarah baru industri hiburan Korea apabila drama ini berjaya memecah rekod drama Goblin lakonan Gong Yoo dan Lee Dong Wook yang sebelum ini menjadi drama yang paling popular dan rating tertinggi di Korea. Menerusi pencapaian ini juga, Hyun Bin kembali menggoda ramai wanita Korea menerusi kekacakannya. Sebelum ini, Hyun Bin pernah menggegarkan industri hiburan Korea dengan naskah drama yang berkualiti seperti Secret Garden.
Dalam pada itu, EH! KOREA BUZZ dimaklumkan, selepas tamatnya tayangan drama ini di Korea minggu lalu, pihak pengurusan Hyun Bin telah disunting ramai pihak untuk membawanya ke beberapa negara termasuklah Malaysia. Namun rombongan meminang tersebut masih belum diterima jejaka kacak ini. Berdasarkan latar belakang karier Hyun Bin, pelakon kacak ini amat jarang menerima tawaran dari luar negara terutama sekali tawaran mengadakan persembahan dan sesi berjumpa peminat. Bagaimanapun, menerusi informasi dalaman, Hyun Bin bukanlah pelakon yang memandang wang ringgit untuk mempersetujui terlibat dengan aktiviti yang direncanakan, sebaliknya dia lebih suka melibatkan diri dengan perkara yang memberi banyak keuntungan untuk semua pihak yang terlibat.
Menyentuh mengenai lamaran yang dibuat oleh pihak Malaysia, difahamkan Hyun Bin bakal membuka hati untuk mengadakan sesi bertemu peminat tersebut memandangkan orang yang melamar itu disenangi pihak Hyun Bin dan memiliki nama miripnya.Mengikut perancangan, Hyun Bin dilamar pihak dari Sabah yang mana pihak tersebut juga adalah seorang yang sangat bijak dalam perniagaan fesyen serta peminat setia Hyun Bin. Mereka sedia membawa Hyun Bin ke Kota Kinabalu sekitar selepas sambutan Aidilfitri 2020. Berkemungkinan kedatangan Hyun Bin turut mendapat kerjasama dari pihak Tourism Sabah.
Jika perkara ini menjadi, pasti gamat sesi bertemu peminat tersebut dan bukan senang bagi Hyun Bin untuk melakukan sesi tersebut. Di Korea pun, Hyun Bin sangat memilih apatah lagi di peringkat antarabangsa. Jadi, kita tunggu dan lihat saja, adakah bulan Ramadan nanti ada pengumuman rasmi dari pihak yang merancang program ini.