Perintah Kawalan Pergerakan kini sudah memasuki fasa kedua dan rakyat Malaysia digalakkan untuk duduk di rumah.
Inilah masa terbaik untuk pasangan suami isteri yang bekerja dari rumah untuk mengeratkan hubungan. Banyak aktiviti romantis yang boleh dilakukan bersama agar dapat memperbaiki atau mengeratkan lagi hubungan bersama pasangan.
Berikut adalah antara aktiviti yang boleh anda cuba bersama pasangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Tonton Filem Romantis
Tidak dapat menonton wayang, maka tontonlah filem atau drama di rumah. Dengan aplikasi seperti Iflix atau Netflix, anda boleh memilih pelbagai jenis drama atau filem untuk ditonton bersama pasangan. EH! cadangkan anda pilih filem romantis kerana ia dapat memberikan kesan positif pada hubungan suami isteri. Lebih romantik, jika tonton dalam susana malap dan ditemani dengan snek ringan.
Buat Kerja Rumah
Pada waktu inilah, pasangan suami isteri perlu bekerja sama dalam menyelesaikan kerja rumah. Melakukan kerja rumah bersama dapat mengeratkan lagi hubungan anda bersama pasangan dan sudah tentu si isteri rasa lebih dihargai.
Masak Bersama
Jika sebelum ini hanya isteri sahaja yang masak, apa kata sepanjang tempoh ini, suami pula yang memasak atau lakukannya secara bergilir-gilir? Mungkin untuk lebih romantik, lakukannya bersama. Aktiviti ini dapat membina komunikasi antara anda dan pasangan dan juga belajar untuk bertolak-ansur dalam segala hal.
Kongsi Momen Indah
Tidak salah untuk gunakan masa terluang ini untuk mengimbas kembali memori indah bersama pasangan atau mendengar segala masalah pasangan agar anda dapat membantu mereka menyelesaikannya.
Solat Berjemaah
Jika sebelum ini, anda dan pasangan tidak sempat melakukan solat berjemah bersama inilah masa untuk menebusnya. Hubungan juga akan menjadi lebih mesra.