Diptyque menjalin kerjasama dengan artis Perancis, Ugo Gattoni untuk himpunan istimewa hujung tahun.
Kalau ditanyakan kepada saya, kota mana yang paling saya rindui saat ini, saya tak teragak-agak untuk memberitahu yang saya sering terkenangkan Paris legaat kebelakangan ini. Walaupun ia bukanlah kota nombor satu kesukaan saya (saya sangat gemarkan New York), tapi ada sesuatu yang membuatkan Paris cukup istimewa. Tambahan pula bila tiba hujung tahun, butik-butik di sana akan tampil ekstra cantik dengan dekorasi sambutan Krismas. Mujur hujung tahun lalu saya sempat ke sana dan keseronokannya masih terbayang-bayang. Antara butik yang sering saya lawati pabila ke sana ialah Diptyque. Singgah ke dalam butik sambil ditemani bau-bauan lilin juga minyak wanginya cukup menyenangkan. Saya akan ralit mencuba bau-bauan lilin di sana dan akan terleka melihat item edisi terhadnya.
Untuk koleksi istimewa percutian tahun ini, Diptyque menjalin kerjasama dengan seorang artis kelahiran Perancis, Ugo Gattoni. Gattoni mencurahkan kehebatannya dalam ilustrasi dengan menzahirkan imaginasi dongengnya, yang mana dia berkongsi khayalannya tentang kejadian malam Krismas yang menonjolkan karakter tiga haiwan. Imaginasinya ini diterjemahkan dalam bentuk animasi dan diabadikan pada seluruh item edisi terhad musim percutian Diptyque. Gattoni juga sama-sama berkongsi ilham untuk tiga aroma baru untuk Diptyque.
Singa- Flower Majesty. Aromanya berat dengan bau Bunga mawar yang bercantum dengan bau kayu manis untuk sedikit percikan bau rempah.
Angsa- Amber Feather. Baunya cukup nyaman dan menenagkan, membuatkan kita berasa selesa hasil adunan buah oren, kayu manis dan halia. Baunya dilembutkan dengan amber accords.
Rusa- Moonlit Fir. Belum berkesempatan mencuba bau ini, tapi melalui informasi yang dikongsi saya dapat bayangkan saya akan sukakan bau ini kerana ia mengandungi bau daun kesukaan saya iaitu eucalyptus yang dipadankan dengan bau rosemary dan peppermint. Saya memang suka bau lilin yang punya unsur kayu-kayuan.
Himpunan istimewa ini sudah pun berada di butik Diptyque.