Bercuti sambil makan sihat adalah satu yang sukar diamalkan namun ia bukan suatu yang mustahil!
Untuk mengamalkan pemakanan yang sihat, banyak yang perlu diambil kira. Yang paling ideal adalah mendapatkan nasihat pakar nutrisi agar cara makan sihat yang anda amalkan adalah yang disarankan dan tidak hanya percaya kepada carian google semata-mata.
Ia mungkin mudah buat anda yang sukakan kembara solo, makan dan minum boleh dikawal sendiri. Namun, ia sedikit sukar jika anda mengembara bersama teman atau keluarga juga sanak saudara. Apatah lagi jika anda ke negara-negara yang kaya dengan makanan ruji yang menjadi kegemaranmu sejak kecil lagi.
Tahukah anda, jika anda kerap mengunyah makanan ringan tanpa kawalan, ia boleh mengakibatkan ketidakselesaan dan juga tekanan fizikal. Mana tidaknya jika setiap kali berhenti di stesen minyak anda akan keluar dengan tiga beg plastik yang penuh dengan semua jenis coklat, keropok dan air minuman yang manis-manis.
Jadi, bagaimana agaknya untuk anda mengamalkan mengambilan makanan yang sihat dan seimbang kala bercuti. EH! senaraikan lima makanan ringan ini untuk kamu kunyah ketika lapar namun masih di dalam kategori makanan sihat.
Buah-buahan
Ini salah satu makanan pilihan paling sihat yang perlu anda bawa bersama sebelum merancang apa jua perjalanan. Buah-buahan ringan pada perut langsung memberi serat dan terus buat anda kenyang. Perlu diingat, elakkan buah-buahan yang telah dipotong yang berkemungkinan besar sudah tercemar dan boleh merosakkan usus anda.
Sandwich buatan sendiri
Sekiranya anda mahu makan sihat dan sudah tahu yang anda tidak akan berhenti di mana-mana untuk membeli makanan, bungkus sandwic yang dibuat dari rumah . Ini jauh lebih baik daripada membeli makanan di jalanan. Sandwic ini boleh disediakan dengan mudah, anda hanya perlukan beberapa keping roti mentega, tambah sayur-sayuran kegemaran anda dan hidang bersama ayam cincang. Kalau lapar ditengah jalan, capai sahaja dari beg dan nikmatinya serta-merta!
Kerepek Sayur
Daripada anda singgah pandu lalu McDonald untuk mendapatkan kentang gorengnya yang lazat, apa kata anda potong sayur-sayuran dalam kepingan nipis dan goreng dengan rempah pilihan. Anda pasti tidak akan merasa bersalah kerana mengunyah kerepek ini dan tidak perlu buang kalori yang banyak hanya kerana memakan kerepek sayur sihat buatan anda sendiri.
Lobak Merah
Tuhan sahaja yang tahu perasaan untuk meletakkan coklat bar dan pelbagai jenis keropok di atas kaunter. Tetapi, tanam dalam mindamu yang anda akan menyesal selepas menghabiskan semua makanan tadi. Apa kata beralih kepada lobak? Ia sarat dengan serat dan antioksidan. Salah satu sebab anda asyik mengunyah adalah kerana anda bosan bukan kerana lapar. Oleh itu, ada baiknya anda memilih makanan ringan yang sihat daripada menikmati kentang goreng, coklat atau makanan jalanan yang lain.
Popcorn
Jika anda bercadang untuk membuat popcorn ala anda sendiri, tambah sedikit keju, minyak, garam dan lada hitam. Ia bakal memberi rasa yang umphh jika dibandingkan dengan rasa asli popcorn biasa. Popcorn adalah salah satu pilihan terbaik untuk dijadikan kudapan semasa anda dalam perjalanan. Saranan EH!, lebih baik membuatnya sendiri di rumah dan membungkus dengan cara tersendiri daripada membelinya di kedai.
Artikel berkaitan: Awas! 5 Makanan ‘Sihat’ Ini Mungkin Bahaya Untuk Anda