Selepas 10 bulan pemergian suami, pelakon Ashraf Sinclair akibat serangan jantung, Bunga Citra Lestari mengakui dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Dalam satu temu bual untuk program AL El Dul Channel di saluran YouTube, penyanyi Maia Estianty mengajukan soalan adakah dia sudah bersedia untuk bernikah lagi.
“Sampai sekarang? Belum,” jawabnya ringkas. Jelasnya, terlalu sukar untuk dia mengembalikan semangat diri dan menerima kenyataan bahawa suaminya sudah tiada. Bunga mengakui mengambil masa lebih enam bulan untuk mengembalikan kekuatan dirinya dan kembali bekerja seperti biasa.
“Sejak hari pertama menjalani terapi memulihkan diri, setiap hari saya menangis. Kemudian, baru rasa diri kembali berfungsi. Itu pun selepas lima atau enam bulan. Barulah saya berupaya melakukan sesuatu, terutamanya kembali bekerja,” katanya.
Bunga juga mengakui dirinya ibarat robot tanpa perasaan, ketika terpaksa menjayakan beberapa tuntutan kerja beberapa hari selepas Ashraf meninggal dunia.
Namun dia bersyukur kerana semangatnya semakin pulih. “Perkara pertama yang paling penting sekarang adalah untuk dapat terus bernafas. Kalau boleh bernafas, boleh bercakap, kemudian boleh berjumpa orang,” ujarnya.
Foto: The Star/Norafifi Ehsan
Baca: Lakukan Ujian Saringan Covid Pada Rakan Sendiri, Bunga Citra Lestari Ditegur Doktor