Bermula dari bait ‘Oh bulan, enggan melayan diriku lagi…’ ternyata Yuna tidak pernah menoleh ke belakang. Semenjak Dan Sebenarnya meletus, perjalanan seni Yunalis Zarai bergerak deras. Biar gagal membolosi top 12 One in a Million, dia antara penyanyi yang berjaya meletakkan namanya di kelas tersendiri, dia sememangnya one & only … and original.
Pengarah Kreatif KHAIRUL ABIDIN, Pengarang Fesyen JOHAN KASSIM, Jurugambar EDMUND LEE (ONE3FOUR STUDIO), Solekan SHIYO JOO Menggunakan DIOR MAKEUP
EH! melihat Yuna ‘membesar’ di dalam industri seni, dan kami berkongsi beberapa momen manis bersama. Di saat tiada majalah fesyen yang mahu meletakkan gadis bertudung di muka depan, kami menjadi yang pertama meletakkan figura ini bergandingan bersama Scha Alyahya, Juliana Evans dan Liyana Jasmay. Selang beberapa bulan selepas itu kami mempamerkannya secara solo di muka hadapan. Menyarung trench coat Burberry warna hijau askar, Yuna mencatat sejarah sebagai selebriti berhijab pertama tampil di muka hadapan EH! Dan sekali lagi kami mahu berkongsi detik manis bersama Yuna, selepas ‘bercuti’ beberapa bulan dari arena penerbitan, kami kembali dan Yuna menjadi yang pertama berkongsi momen penting ini.
Dan pagi Ahad itu Yuna muncul serba hitam. Tubuhnya dibaluti jaket tweed Chanel, dan sepatu Maison Margiela kolaborasi bersama Reebok yang disarungnya betul-betul menangkap pandangan saya. Di meja solek Shiyo Joo awal-awal lagi sudah menyusun deretan gincu Rouge Dior yang baru, hanya menunggu masa untuk dicalit pada bibir mungil pelantun lagu Lullabies ini (my personal favourite).
EKSPORT BAKAT
“Bermula aktif sejak 2006, what keep you going melakukan apa yang Yuna lakukan hari ini?”, saya membuka bicara. “Ini apa yang saya minat, dan saya melihat apa yang saya lakukan hari ini adalah sesuatu yang membuka peluang untuk saya reinvent myself setiap tahun, yang membuatkan saya sentiasa berasa teruja, yang boleh buat saya keep exciting. Bukan sahaja memperbaharui dari segi muzik, juga dari segi fesyen dan macam-macam lagi. Saya sentiasa mencari inspirasi untuk pastikan saya tak berasa tersekat. Bila balik ke Malaysia saya kena fikir apa yang boleh saya buat, siapa dan apa yang boleh saya jadikan inspirasi. Saya mula kenal dan dengar bakat-bakat baru yang mungkin belum dikenali, dan bagi saya mereka banyak memberi inspirasi kepada saya. Saya mendengar Luna Dira, Quay (penyanyi rap) dan ramai lagi. Bila balik ke Malaysia saya tak boleh ada rasa, ‘eh aku Yuna kot, aku dah power’. Saya mahu terlibat sama dalam membantu industri muzik kita, saya perlu keluar dari zon selesa, pushing myself to be better.
Bercakap tentang bakat baru, ramai yang berang bila beberapa penyanyi baru gagal mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu. Naim Daniel, Yonnyboii dan Zynakal antara yang terkandas biarpun datang dengan karya yang berkualiti. Malah ada sesetengah penggemar muzik berpendapat kerusi juri yang dibarisi orang-orang lama seakan tidak relevan dan evolve dengan muzik masa kini. Saya bertanyakan Yuna hal ini.
“It’s true, kita perlu evolve. Bila kita evolve bukan bermaksud kita melupakan akar kita tapi kita kena eksport bakat kita ke luar. Saya antara penyanyi Malaysia yang berjaya eksport bakat saya dan saya lakukannya sendiri. Bukan tiada sokongan, tapi tak banyak. Sokongan yang saya terima adalah dari peminat. Contohlah, kalau kita nak bercakap tentang Grammy, Malaysian yang terdekat berpeluang dicalonkan di Grammy takkan saya sahaja. Kita kena cipta seseorang dari sekarang, mungkin dari bangku sekolah lagi, mungkin 10 tahun akan datang ada yang berjaya. Negara lain dah buat, tapi kita belum.”
“Kita lihat bagaimana Korea Selatan berjaya eksport bakat mereka. Indonesia juga sudah melakukannya. Kita perlu bermula dari sekolah lagi. Beri bajet yang lebih untuk menyokong local art scene.”
“You masih ingat momen tepat yang membuatkan you mahu menjadikan muzik sebagai karier? Detik yang mencetus angan-angan mahu ke Hollywood.” “Saya rasa perasaan itu muncul bila saya boleh menulis lagu saya sendiri. ‘Eh I can do this’. Mula-mula memang rasa seperti syok sendiri tapi perasaan syok sendiri itu saya seiringkan dengan kerja keras. Saya tetapkan sasaran dan saya fokus. Sejar awal lagi saya sudah tetapkan, lima tahun selepas mulakan karier muzik di Malaysia saya mahu terus ke Amerika atau United Kingdom, berjaya atau tak sekurang-kurang saya mesti cuba. At least I know. Alhamdulillah, tiga tahun selepas bermula serius saya berpeluang ke Los Angeles.”
LUCK HAS EVERYTHING WITH HARD WORK
“Nasihat saya kepada younger kids, kita mesti ada gol. Kita boleh berkreatif tapi jangan ambil masa terlalu panjang. Perlu ada sasaran dan perancangan. Kena fikir apa yang boleh buat you fokus ke arah sasaran itu. Ramai orang ambil masa.”
“Mungkin saya ni lain sikit, sebab saya tak parti jadi lebih mudah untuk fokus. Lepas satu, satu. Selesai satu kerja saya fikir apa yang saya nak buat seterusnya. I always push myself.”
“Saya masih ingat saya pernah hire this one girl dan saya nasihatkan dia untuk buat itu ini, tapi saya kena sound balik. Dia cakap, ‘Yuna, you tak boleh paksa orang lain kerja macam you’. Saya cakap, ‘up to you’. Saya rasa ramai orang kita yang terlalu selesa.”
“Ada orang fikir apa yang saya miliki hari ini semata kerana saya bertuah. Orang tak tahu bagaimana saya bekerja. Orang yang lihat dan faham betapa kuatnya saya bekerja hanyalah Didi (pengurusnya di Malaysia). Adalah mustahil untuk cerita dan terangkan kepada orang bagaimana saya bekerja. Tuah itu datang selepas kita bekerja keras. Kerja keras itu yang menggerakkan kita, Tuah itu adalah bagaimana kita meletakkan kerja keras kita. Adakah kerja keras kita itu membawa sampai Pharrel mendengar lagu kita, atau Usher mahu menyanyikan lagu kita. Luck it has everything with hard work. Dan ini semua ada kena mengena dengan bagaimana kita kekal menjadi diri kita sendiri, how you stay true to tourself. Benda itu yang bawa kita ke mana kita mahu pergi. Billie Eilish misalnya dia menjadi dirinya sendiri, dia berbeza dan itu buat dia berjaya.”
“Saya pernah naik pentas dan kena boo sebab orang rasa saya tak cool. Ya, waktu itu orang pun pelik tengok perempuan pakai tudung naik pentas bawa gitar dan menyanyi. We have to fight for our identity. Masa itu saya fikir, takkan nak buka tudung.”
“Pergi record label, itulah perkara pertama mereka minta- buka tudung. Mereka kata mereka tak boleh jual muzik dengan imej berhijab. Kedua, mereka minta saya korbankan lagu Inggeris saya. Tapi saya percaya dengan apa yang saya mahu. Hari ini sudah ramai artis yang jadikan lagu Inggeris sebagai lead single. Tiap-tiap hari saya dengar lagu Dolla di radio. Waktu saya bermula dulu tiada siapa yang bagi peluang itu. Hari ini semuanya berubah. Bukannya kita mahu lupakan warisan kita tapi bagaimana kita nak bawa heritage kita ke atas pentas di luar negara.”
Kata-kata Yuna itu ada betulnya. Ya, dia menyanyikan lagu Inggeris tapi saya lihat dia tidak pernah lupa untuk ‘menjual’ warisan kita. Dia bersanggul lintang di muka depan album Rouge. Dia membawa penonton melihat keindahan Malaysia di dalam video muzik Forevermore, juga mengangkat seni tari klasikal India menerusi (Not) The Love of my Life. Seperti Katanya, dia hanya stay true to herself. Dan atas -atas faktor inilah mengapa saya mengatakan dia original.
“Bagaimana Yuna definisikan diri Yuna sebagai penyanyi?” “Sebagai penyanyi saya masih belajar, I’m still a traveller yang masih mahu buat banyak lagi dengan karier nyanyian saya. Saya sentiasa mahu memperbaiki diri. Sebagai penulis lagu saya berkarya dengan jujur, apa yang saya tulis sangat peribadi, amat dekat dengan diri. I hope I answer your question,” balasnya ketawa. Kongsi Yuna, dalam banyak-banyak lagu yang ditulisnya, yang paling dekat dihatinya ialah Likes (dari album Rouge), baginya lagu itu betul-betul menceritakan tentang hidupnya, persepsi orang terhadapnya.
Artikel Berkaitan: “Keluarga Adam, The Most Beautiful Family I Ever Met,”- Yuna
Bila ditanya tentang perkara yang mudah mencurah inspirasi padanya, fesyen balas Yuna. “Fesyen sentiasa membuat saya terinspirasi- baju dan aksesori, ia juga salah satu cabang seni. Saya juga sukakan fotografi, benda-benda yang fun. Saya suka membaca majalah, Melihat gambar-gambar di Pinterest. Itu semua mencetus inspirasi.” Dan hari itu di studio saya perasan Yuna memang setia dengan telefon bimbitnya, sesekali dia mengambil gambar baju-baju dan aksesori yang dia gayakan. Saya mengusiknya, “aesthetic, aesthetic,”, dia ketawa dan faham apa maksud saya. “Masuk tahun baru kan, feel Instagram kena revamp,” dia berseloroh.
“Apa lagi yang mahu Yuna lakukan?” “Kadang-kadang ada timbul rasa nak bersara tapi saya rasa mungkin tidak. Berhenti dari membuat tour, itu ada kebarangkaliannya. Tapi berhenti dari muzik tidak kerana bagi saya muzik itu mententeramkan jiwa. Saya akan terus berkarya selagi mampu. Rancangan ketika ini adalah untuk tinggal lebih lama di Malaysia. Rasanya sudah lama saya tidak pulang selama ini. Sebelum ini setiap kali balik dalam dua ke tiga minggu sahaja. Mungkin start a family soon. Dan saya ada perasaan untuk buat sesuatu yang boleh menyumbang kepada industri muzik, macam saya cakap tadi kita ada banyak bakat yang bagus, perlu ada perancangan dan sokongan untuk kembangkannya.”
Bila disoal tentang biggest turning point dalam kehidupannya, balas Yuna ada dua peristiwa yang membuat kehidupannya berubah, “Pertama, ketika saya mula-mula mahu mencuba nasib di Amerika.”
“I had a conversation dengan Juliana Evans, kami tak rapat tapi perbualan itu saya masih ingat. Dia tanya saya, ‘you tak takut ke nak tinggalkan semua. You dah famous kat Malaysia’. Saya faham maksud dia, bukannya dia cuba discourage me.”
“Tapi bila saya nak mulakan sesuatu di luar saya perlu tinggalkan apa yang saya dah bina di Malaysia dan bila saya tiada orang akan gantikan saya dengan yang lain. Wake itu saya memang nak cuba, berjaya atau tak sekurang-kurangnya saya tahu. Saya tak nak menyesal kalau saya tak cuba.”
‘Kedua, bila saya berkahwin. Perkahwinan buat kehidupan saya seimbang. Dulu saya tak tahu nak seimbangkan kehidupan saya di malaysia dan LA. Cara saya membawa diri di LA berlainan dengan Yuna di sini. Dulu saya selalu berasa diri saya kecil di Malaysia. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin saya terlalu berhati-hati, saya takut orang ada persepsi yang saya dah besar kepala. Now am no longer feel that way.” Saya faham apa yang cuba Yuna sampaikan, saya rasa dia bimbang ada yang fikir dia ‘poyo’. Andai ada yang fikir begitu, biarlah kerana kita takkan mampu memuaskan hati semua. What you can do? DANCE LIKE NOBODY’S WATCHING!