Situasi banjir yang melanda beberapa negeri sekarang ini semakin membimbangkan, terutama apabila kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak dilanda banjir kini turut terlibat.
Kerisauan ini turut dirasai oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, sehingga dia terpanggil untuk meluahkannya di Instagram.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik semalam, dia memohon kepada orang ramai agar mendoakan keadaan banjir yang melanda Johor, Kelantan, Terengganu dan negeri kelahirannya, Pahang akan reda secepat mungkin.
“Banjir semakin teruk di beberapa negeri termasuk Pahang. Saya mendoakan agar ujian ini dipermudahkan untuk semua yang terbabit mengharunginya. Semoga bantuan, keprihatinan dan ihsan sesama kita dapat dihulurkan bagi membantu. Ayuh kita doakan agar segalanya pulih seperti sedia kala.”
Tambah penyanyi Kuasa Cintamu itu, dia turut berduka melihatkan kerosakan yang berlaku, mereka yang kelaparan, dan penduduk yang terperangkap serta tidak dapat pergi ke mana-mana.
Dia juga memohon kepada pengikut di Instagram agar berdoa supaya ujian ini dapat diharungi bersama, termasuk memberi bantuan dari segi tenaga atau apa sahaja yang termampu.
“Semoga ibu, keluarga, orang kampung saya di Kuala Lipis, Pahang juga dalam keadaan yang baik dan dilindungi Allah untuk kita semua walau di mana saja kita berada,” tulisnya di kapsyen.
Menurut media, bencana banjir yang melanda Johor dan Pahang semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara naik mendadak kepada hampir 10,000 orang semalam.
Foto: Thestar.com.my
Baca: Mira Filzah Dan Suami Terima YouTube Silver Creator Award