Dari mengurangkan produk plastik sekali guna kepada menggunakan pengangkutan awam, anda boleh memainkan peranan dalam mengurangkan krisis iklim global dengan gaya hidup lestari yang lebih mapan.
Setiap kali hadir tahun baharu, ramai yang akan membariskan azam baharu yang sudah pasti akan menyuntikkan motivasi buat diri sepanjang tahun. Ada yang mahu mengurangkan berat badan, manakala ada juga yang mahu mengembara ke negara idaman mereka. Tahun 2021 ini, apa kata anda mencabar diri dengan menyelitkan azam gaya hidup baharu nana lestari yang dapat memberikan sumbangan dalam mengurangkan pencemaran global.
Sejak dunia dihimpit dengan sekatan pergerakan pandemik Covid-19, pasti ramai yang berpendapat ia telah berjaya mengurangkan tahap pencemaran secara global. Sebaliknya, menurut World Meteorological Organization (WMO) pandemik ini hanya memberikan impak positif yang kecil sahaja kepada tahap pencemaran dunia. Aras gas karbon dioksida di atmosfera kekal meningkat dan ia sangat membimbangkan untuk masa hadapan nanti.
Walaupun secara kecil-kecilan, anda boleh melakukan perkara-perkara yang dapat membantu dunia mengurangkan pencemaran global. Ini adalah lima gaya hidup baharu yang boleh anda lakukan bermula awal tahun ini.
1. Beli-Belah Mesra Alam
Saban tahun, lebih dari 100 billion pakaian dihasilkan untuk pasaran fesyen dunia. Oleh itu, masalah sisa buangan pakaian turut sama meningkat dengan mendadak, lebih-lebih lagi dengan kehadiran label-label pakaian fast-fashion yang boleh didapati dengan cepat dan murah. Bermula tahun ini, apa kata anda bertanya pada diri mengapa anda perlukan pakaian baharu dan berapa kali pula anda boleh memakainya semula. Anda juga boleh membeli pakaian terpakai sebagai alternatif yang lebih unik.
2. Kitar Semula Produk Kecantikan
Setiap wanita, juga lelaki pasti mahu memiliki rangkaian produk kecantikan yang terbaharu. Tetapi, tahukah anda lebih 151 billion bekas produk kecantikan dihasilkan setiap tahun dan ini telah mengakibatkan masalah pencemaran yang semakin kronik. Bermula tahun ini, anda boleh mencuba produk kecantikan yang hadir dalam bentuk pepejal tanpa bekas plastik seperti sabun buku atau bar shampoo. Untuk produk kecantikan lain pula, anda juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan produk kecantikan yang menggunakan bekas kitar semula, atau label yang mempunyai program mesra alam seperti Kiehl’s.
3. Kurangkan Diet Daging dan Tenusu
Ekonomi pertanian dan penternakan haiwan adalah antara penyumbang terbesar kepada masalah iklim serantau. Selain telah mengorbankan banyak kawasan khazanah hijau di seluruh dunia, ia turut sama menghasilkan masalah pencemaran kepada sungai dan lautan. Dengan mengurangkan mengambilan makanan yang berasaskan daging dan tenusu, ia adalah antara cara yang terbaik untuk mengurangkan kuantiti gas rumah hijau. Anda bukan sahaja dapat membantu planet, tetapi juga dapat memperbaiki kesihatan diri dengan diet yang lebih seimbang.
4. Elak Produk Plastik Sekali Guna
Ini bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara ini sudah diperkenalkan oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun lalu. Hari ini, ia sudah menjadi gaya hidup pilihan ramai seperti penggunaan botol air dan bekas kopi yang boleh digunakan semula. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi yang degil dengan menggunakan produk plastik sekali guna dalam kehidupan harian seperti penyedut minuman. Sebagai permulaan, anda boleh membawa beg beli-belah anda sendiri kala mengunjungi pasaraya mahupun pusat beli belah.
5. Gunakan Pengangkutan Awam
Sejak dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19 tahun lalu, pasti ramai yang hanya bekerja dari rumah dan tidak lagi perlu ke pejabat setiap hari. Lantas, penggunaan kereta persendirian juga semakin berkurangan. Kereta adalah antara punca utama pemanasan global. Selain dapat menjimatkan perbelanjaan anda, penggunaan pengangkutan awam adalah pilihan yang lebih baik dan mesra alam dalam memulakan kehidupan yang lebih lestari.
Baca lebih lanjut: Tempahan Tiket Penerbangan Paling Fleksibel Sepanjang 2021
Foto: Noah Buscher on Unsplash