Pelakon yang mencipta nama melalui filem 50 Shades of Grey, Dakota Johnson baru-baru ini mendedahkan dia mengalami serangan panik ketika sedang menjalani penggambaran filem Our Friend.
Semasa membuat penampilan maya di The Tonight Show malam Selasa lalu, Dakota memberitahu pengacara, Jimmy Fallon bahawa ia terjadi sebelum rakaman babak nyanyian pertamanya dalam filem komedi-drama tersebut.
“Ia sangat menakutkan,” katanya mengenai babak tersebut. “Saya mudah ketakutan di atas pentas. Sama seperti ketika saya dijemput ke rancangan anda, saya berasa sangat gemuruh lalu ketawa kemudian menangis – hampir sepanjang masa.”
Dakota mengakui, menyanyi di hadapan orang ramai terasa mengerikan. “Kami merakam satu babak di mana saya tidak kelihatan, kamera berada di belakang, saya sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku waktu itu.
“Saya sepatutnya membuat persembahan di teater komuniti, kemudian mereka memainkan rakaman vokal nyanyian saya dan berkata, ‘Action!’. Saya pula tiba-tiba terkena serangan panik yang tidak mampu disembunyikan.”
Jelas teman wanita kepada penyanyi Chris Martin itu, sebaik sahaja dia mendengar vokal sendiri, dia tiba-tiba berlari di sekeliling teater dan belakang pentas.
“Saya berlari tanpa henti kemudian ketawa seperti sedang mengalami histeria, dan semua kru di lokasi tertanya, ‘Apa dia sedang lakukan?’”. Dakota terus berlari, ketawa, kemudian berhenti bergerak dan mula menangis.
Apabila Jimmy bertanya apakah punca serangan panik itu, jawabnya dia sendiri tidak mengetahui. “Ia mengawal diri saya tanpa disedari. Saya sangat takut.”
Filem Our Friend merupakan kisah benar yang menampilkan Dakota sebagai seorang pesakit bernama Nicole Teague, di mana suaminya Matthew Teague (Casey Affleck) mendapat bantuan daripada rakan baiknya, Dane Faucheux (Jason Segal) untuk menjaga Nicole. Jake Owen turut membintangi filem ini sebagai Aaron, rakan kepada Dane.
Baca: Dakota Johnson Tayang Cincin Tunang
Foto: Txema Yeste