Selepas tiga minggu menyepikan diri di Instagram, satu berita mengejutkan muncul mengenai pelakon K-Drama, Song Yoo Jung.
Wakil agensi, Sublime Artist Agency mengesahkan Song Yoo Jung meninggal dunia pada 23 Januari lalu pada usia 26 tahun dan upacara pengebumian telah pun dijalankan di Seoul Medical Centre cawangan Gangnam. Perarakan pengebumian juga telah diadakan petang semalam.
Punca kematian masih belum didedahkan tetapi terdapat laporan awal mengatakan bahawa Song Yoo Jung meragut nyawanya sendiri. Namun, kenyataan tersebut kemudian diubah.
Korea sememangnya terkenal dengan kes bunuh diri di kalangan selebriti muda. Kebelakangan ini semakin ramai yang mengambil keputusan untuk menamatkan hidup sendiri disebabkan tekanan budaya yang tinggi, antaranya Sulli dan Goo Hara.
Song memulakan kerjaya sebagai model jenama kecantikan sebelum melangkah ke bidang lakonan pada 2013 melalui drama romantis Golden Rainbow, di mana dia memegang watak tambahan.
Namanya mula terkenal selepas membintangi drama Make a Wish pada 2014 dan School 2017 terbitan KBS2. Pada 2019, dia memegang watak utama dalam drama web Dear My Name.
Pada tahun yang sama, Song menandatangi kontrak bersama Sublime Artist Agency yang turut menaungi selebriti terkenal lain antaranya pelakon Song Kang-Ho (Parasite) dan penyanyi Rain.
Masa depannya dilihat cerah, namun selepas Dear My Name dia tidak membintangi apa-apa drama lain kecuali video muzik Friend to Lover (Standing Egg) dan How Do I (NIve) pada tahun lalu.
Foto: Era.id