Justin Bieber mengimbas kembali kesilapan lalu yang menyebabkan dia ditangkap pada 2014. Dia mengakui, dirinya kini semakin matang pada usia 27 tahun.
Dia memuat naik foto dirinya ditangkap berserta kapsyen panjang buat 160 juta pengikutnya di Instagram. Pada waktu itu, Justin berada di bawah pengaruh dadah dan mamai namun patuh pada arahan pihak berkuasa ketika kejadian yang berlaku di Miami Beach, Florida.
Dia yang berusia 19 tahun pada ketika itu menjadi tajuk berita kerana menyewa Lamborghini dan menggunakan jalan di kawasan perumahan sebagai trek perlumbaan.
Dalam kapsyen Instagram, Justin mengatakan kejadian itu bukan waktu terbaiknya. “Saya tidak berbangga dengan kejadian lalu. Saya terluka, sedih, keliru, marah, hilang arah, disalah erti, dan marah pada Tuhan… Saya juga pakai terlalu banyak fabrik kulit untuk cuaca di Miami,” dia sempat berjenaka.
Namun semua ini memberi dorongan dan inspirasi buatnya. “Saya hanya mahu mengatakan, Tuhan mentakdirkan jalan yang jauh buat saya,” ujarnya.
Dia menambah, “Sejak saat itu hingga sekarang, saya menyedari sesuatu… Tuhan sentiasa berada di sisi saya. Pesanan saya, biarkan masa lalu menjadi peringatan tentang sejauh mana perjalanan anda. Jangan biarkan rasa malu merosakkan diri anda hari ini.”
Hantaran tersebut mendapat lebih lapan juta likes dan sokongan yang tidak terhingga daripada rakan selebriti seperti Kevin Hart, Usher, Tom Brady, Bella Hadid, juga isterinya Hailey Bieber.
Justin mengaku tidak bersalah kerana memandu secara berbahaya. Dia kemudian mengikuti kelas pengurusan kemarahan dan bersetuju membuat sumbangan amal untuk mengelak hukuman penjara.
Foto: Jon Kolapoff/Getty Images
Baca: Belum Mahu Memiliki Cahaya Mata, Ini Alasan Justin Bieber