Penyanyi rap, FKA Twigs berkongsi mengenai perhubungan lalunya dan isu perkauman yang dihadapinya daripada peminat Robert Pattinson.
FKA Twigs atau nama sebenarnya Tahliah Debreyy Barnett mendedahkan perkara itu sewaktu wawancara untuk program BBC Radio 4, Grounded with Louis Theroux. “Ia sangat, sangat mengerikan sehingga saya tidak mampu bercakap mengenainya,” katanya.
“Rasanya jika saya mengalaminya sekarang, saya akan mampu berbicara secara terbuka dan menanganinya dengan baik. Saya tidak tahu adakah ia disebabkan faktor usia atau iklim sosial atau kerana saya wanita berkulit hitam dari Cheltenham yang datang dari keluarga miskin, dan benar-benar perlu bekerja keras dua kali ganda dalam semua perkara untuk diterima.”
Kata penyanyi berusia 33 tahun ini, dia bekerja tanpa henti untuk berjaya dan pernah dipanggil dengan gelaran paling teruk dan menyakitkan di dunia ini.
“Bagi mereka, Pattinson merupakan putera idaman berkulit putih dan mereka menganggap dia perlu menjalin hubungan dengan wanita berkulit putih dan berambut perang, bukannya saya.”
Malah dia turut disamakan dengan monyet. “Jika saya memakai gaun merah, mereka akan berkongsi foto monyet di dalam gaun merah. Jika saya sedang berada di atas motosikal, mereka akan turut mencari foto monyet di atas motosikal.”
Isu ini memberi kesan besar terhadap dirinya dari enam bulan hingga setahun. “Setiap kali melihat cermin, saya akan berfikir, ‘Oh, saya kelihatan seperti monyet dan orang akan berkata saya nampak seperti monyet. Jadi saya perlu cuba sedaya upaya sembunyikan ciri-ciri monyet yang ada pada diri saya,” ujarnya.
Dia menambah, ia perbuatan membuli dan jelas mempengaruhinya secara psikologi, malah dia sering berasa sedih apabila memikirkannya. Sejak itu, dia kurang keyakinan diri.
Penyanyi Cellophane ini mula dikaitkan dengan pelakon Twilight itu pada akhir 2014. Sekitar September tahun sama, FKA Twigs mendedahkan komen kebencian berkisar tentang rasisme yang diterimanya di media sosial sepanjang minggu tersebut.
Dalam satu wawancara bersama USA Today yang diterbitkan beberapa bulan kemudian, dia berkata, “Ia pelik, saya tahu ia bukan disebabkan oleh diri saya atau perkara yang saya lakukan. Tetapi positiviti yang saya dapat daripada perhubungan dengan Pattinson menjadikan aspek mencabar ini sangat berbaloi.”
Dalam temu bual lain bersama The Guardian pada 2019, dia turut berkongsi reaksi berbeza yang diterimanya daripada umum sewaktu mula bercinta dengan Pattinson.
“Mereka menganggap saya berwajah pelik, sehinggalah kecantikan saya diakui oleh jejaka berkulit putih. Ia sangat mengecewakan dan saya tidak boleh menerimanya sehingga ke hari ini.”
Sepanjang perhubungan mereka, FKA Twigs dan Pattinson menghadiri Met Gala sebanyak dua kali (pada 2015 dan 2016) serta beberapa acara karpet merah lain. Mereka dilaporkan berpisah pada 2017 selepas dua tahun menjalin cinta.
Foto: Vogue
Baca: Billie Eilish: Imej Tubuh, Pakaian Longgar & Kesihatan Mental