Penerbit, Sheila Rusly mengejutkan netizen petang semalam apabila memuat naik foto dirinya memeluk seorang wanita dalam busana putih di atas pelamin.
Meskipun dari pandangan belakang, netizen dengan pantas membuat andaian bahawa wanita tersebut adalah Elisya Sandha berdasarkan kapsyen “Alhamdulillah,” yang memberi bayangan satu berita gembira.
Ia kemudian disahkan oleh suami Sheila sendiri, penerbit dan pengarah Jinggo yang berkongsi berita pertunangan anaknya, Uzair Haqimy melalui sebuah video di Instagram berserta kapsyen ringkas, “Teman dia macam mana papa teman mama.”
Dalam video tersebut, Elisya yang kelihatan manis diapit oleh ibunya, Hatijah Teh Man dan Sheila sendiri manakala kelibat Uzair hanya dapat dilihat dari arah belakang. Dia juga tampil dalam persalinan putih.
Tidak lama kemudian, Elisya memuat naik satu Instagram Story menunjukkan tunangnya sedang mendirikan solat bersama keluarga dengan kapsyen, “Syukur Alhamdulillah.”
Dia turut berkongsi beberapa foto pertunangannya dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan dirinya.
Elisya dilihat menjalin hubungan rapat dengan Uzair sejak beberapa tahun lalu apabila sering muncul dalam video yang dimuat naik oleh Sheila di Instagram Story miliknya.
Walaupun tidak membuat pengumuman terbuka mengenai perhubungan mereka, pasangan ini pernah beberapa kali memuat naik foto berdua bersama kapsyen romantis di Instagram, memberi bayangan mereka sedang dilamun cinta.
Foto: Murai