Pengguna Twitter berang terhadap Rita Ora selepas berita pasukannya merasuah sebuah restoran di London untuk menganjurkan parti ulang tahun kelahirannya tersebar baru-baru ini.
Menurut laporan BBC News, Ora membayar sebanyak RM28,000 kepada Casa Cruz yang terletak di Notting Hill untuk melanggar peraturan sekatan yang melarang penganjuran acara bersama tetamu dari kediaman berbeza.
Dia yang juga baru pulang dari membuat persembahan di Egypt seminggu sebelumnya sepatutnya sedang menjalani kuarantin kendiri, menurut laporan.
Pengurus restoran kemudian memberitahu pihak polis bahawa seramai 15 hingga 20 tetamu dijemput ke parti ulang tahun ke-30 Ora yang berlangsung pada 28 November tahun lalu.
Bukan itu sahaja, pasukan Ora meminta restoran tersebut mematikan rakaman CCTV semasa parti sedang berlangsung. Malah, pemacu keras turut dihapuskan dua hari kemudian agar bukti tidak tersebar.
Ora membuat permohonan maaf selang beberapa hari kemudian, menyatakan ia sebagai “keputusan pantas yang dibuat dengan pandangan yang keliru, menganggap pelanggaran sekatan pergerakan adalah okay.”
“Saya sangat menyesal kerana melanggar peraturan walhal saya sedar ia boleh memberi risiko kepada orang lain,” tulisnya di Instagram. “Ia merupakan kesilapan penilaian yang serius dan tidak dapat dimaafkan. Melihatkan sekatan tersebut, saya sedar bahawa tindakan ini tidak bertanggungjawab.”
Walaupun telah membuat permohonan maaf, netizen masih mengecam penyanyi tersebut, teruatama apabila BBC News mendedahkan butiran terbaharu mengenai insiden tersebut. Seorang pengguna Twitter menulis, “Sedang membelek Sky News dan ternampak dua tajuk berita yang disiarkan bersebelahan. ‘Kakitangan hospital mempertemukan pasangan warga emas yang nazak disebabkan Covid-19 buat kali terakhir’, ‘CCTV di parti ulang tahun kelahiran Rita Ora dimatikan, kata polis.’ Saya marah dan sedih dalam masa yang sama.”
Seorang lagi netizen menambah, “Buat kali pertama dalam hidup saya tidak dapat berjumpa ibu bapa pada hari jadi saya, namun Rita boleh menganjurkan parti? Ambil pengajaran daripadanya.”
Jurucakap Ora walau bagaimanapun tidak memberi respons terhadap pertanyaan media mengenai hal ini.
Foto: Getty Images
Baca: Penerbangan Dibatalkan, Rita Ora Terkandas Di Bulgaria