Zizi Kirana menutup 2020 dengan catatan manis apabila lagu ‘EH!’ nyanyiannya membolosi 12 lagu terbaik yang layak ke Anugerah Juara Lagu. Dan 2021 dibuka baik bila mana penampilan baharunya yang lebih terserlah santunnya disambut gembira pengikut langkah seninya selain dua single baru yang membuai deria. Inilah bermulanya era baru Zizi Kirana.
Teks/Arahan Seni KHAIRUL ABIDIN Penyelaras JULIA AZMAN Gambar XIANG (ONE3FOUR STUDIO) Solekan KHIR KHALID Dandanan CKay Liow Body Suit Baldu SYAMIL FAZWAN
Petang Sabtu itu, tepat jam tiga petang saya mengirim teks kepada Zizi. ‘Zizi. Boleh Bids call sekarang?”. Saya awal-awal sudah buat appoinment untuk interview ini, dan selang beberapa saat Zizi menghantar Kiriman balas, “Boleh Bids”. Saat panggilan disambut saya terus menyanyikan lagu Happy Birthday memandangkan hari itu, tanggal 23 Januari adalah hari ulang tahun kelahiran Zizi. Zizi yang mendengar saya menyanyi sebaris dua suka terkekeh ketawa. “Terima kasih Bids. Aku sudah tua,” sambungnya. Saya dan Zizi berzodiak sama, kami Aquarius.
Pada usianya yang sudah mencecah 36 itu saya kira Zizi berada di paras yang cukup bahagia. Hari Ini saya lihat bakatnya sudah diterima baik. Banyak mata mula terbuka dan banyak juga telinga sudah sebati dengan alunan suaranya yang lazimnya menyanyi rap, ada masanya tradisional juga dangdut, ada masanya dia mengaji dan berzanji.
Ikuti temubual intimate (part 1) saya bersama Zizi, menyelami pengalamannya merentasi perjalanan seninya dari saat tersingkir di Akademi fantasia sehingga ke hari Ini.
Pada hari-hari tidak bekerja, bagaimana rutinnya di rumah?
“Aku selalu sibuk, jika datang peluang untuk berada di rumah itu satu keseronokan. Biasanya aku akan tidur,” Zizi ketawa. “Jika bosan-bosan di rumah selalunya Aku akan main game (PS4) dan aku juga sebenarnya suka memasak. Aku cuba-cuba resipi yang aku cari di Google. Sebelum ini aku suka buat kek. Makcik-makcik aku di Sabah memang suka buat kek, tiap hujung minggu memang suka buat kek atau kuih, dari merekalah aku belajar.”
“Kalau aku terlalu penat, biasanya aku akan panggil tukang urut datang ke rumah. Biasanya bila berurut boleh makan masa sampai ke tiga jam, sampai tertidur-tidur. Jika ada masa, aku dan ‘mak ayam’ (merujuk kepada pengurusnya Farah) akan ke spa. Kami akan relaks puas-puas.”
Perjalanan karier Zizi tidaklah baru, mungkin ada yang terlupa sebenarnya Zizi mula melangkah ke dunia seni menerusi Akademi Fantasia musim ketujuh pada tahun 2009. Percaturannya dalam pertandingan nyanyian realiti pertama di malaysia itu terhenti setakat minggu keempat sahaja. Kemudian dia ditawarkan menyertai Kumpulan The Fabulous Cats yang waktu itu diketuai Oleh Cat Farish dan dianggotai oleh Adeep Nahar dan Wangi Julianda. Cinta Kosmik antara lagu yang berjaya menonjolkan Zizi sewaktu bersama The Fabulous Cats, namun jodoh mereka tidak panjang, masing-masing mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Kemudian Zizi menyertai kumpulan Nukilan pula, malangnya nasibnya sama seperti kumpulan terdahulu. Kemudian Zizi terbang ke Indonesia, mencuba nasib di pentas D’Academy Asia musim kedua dan dia hanya bertahan separuh jalan. Usai itu, Zizi mula tampil solo dan dia muncul dengan single tradisional Rahsia Hati, namun tidak berapa menjadi. Nama Zizi mula diberi perhatian saat dia muncul dengan Boleh Jalan, dari situ perlahan-lahan produk muziknya mula diberi perhatian.
“Di mana kurangnya dulu, hingga Zizi perlu tunggu lama untuk betul-betul orang menyedari bakat Zizi?”
“Aku percaya pada rezeki, bila sampai masanya kita akan dapat apa yang kita nak. Aku bersyukur sebab aku diberi peluang untuk bermula dari bawah, kalau keluar terus boom lebih susah untuk maintain sebenarnya.”
“Bila aku bermula dari bawah dan ambil masa, aku dapat belajar banyak benda. Kalau ada yang kata lambat mengenali Zizi Kirana, itu aku terima. Lagipun mungkin apa yang aku buat pada waktu itu belum cukup untuk aku dikenali.”
Apa yang Zizi belajar sejak bermula lebih 10 tahun dulu?
Aku belajar menggubah lagu. Aku belajar macam mana untuk punya PR, berkomunikasi dengan orang walaupun hakikatnya aku pemalu. Bila berjumpa dengan orang yang aku tak kenal aku macam ada button mute, terus diam. Dalam sedekad ini aku berpeluang bertemu dengan orang-orang yang bagus, tak kira dalam muzik, lakonan, pengacaraan atau fesyen. Banyaklah proses pembelajaran yang aku timba dalam usaha melengkapkan ilmu aku dalam bidang ini.
Bagaimana pula dari segi mentalnya?
“Bidang ini banyak mengajar aku untuk bersabar. Aku kena yakin dengan apa yang aku buat. Aku kena percaya pada usaha-usaha yang aku aturkan dalam nyanyian dan sentiasa positif dengan sokongan dan bantuan orang-orang di belakang aku. Aku kan sebenarnya pelik berborak dengan kau macam ni Bids. Selalunya kita borak biasa saja, tapi bila serius macam ini Aku rasa pelik,” Zizi berseloroh.”
Saya hanya mampu menyambung ketawa bila Zizi berkata sebegitu. Ya, sejak bertemu di penggambaran EH! 20 Yang Anggun lebih kurang 10 tahun yang dulu, inilah kali pertama saya menemubual Zizi.
“Secara semula jadinya Zizi seorang yang sabar atau tidak?,” saya menyambung pertanyaan.
“Dulu-dulu tidak, ya zaman muda semuanya nak cepat. Bila aku ambil keputusan untuk berpindah ke KL, aku mula belajar berdikari, duduk seorang. Awalnya memang struggle, aku belajar bahagi-bahagi kerja dengan urusan di rumah, mula sedar kena bayar bil sendiri, aku terkejut sekejap. Tapi aku nekad, memang kelam kabut awalnya tapi aku go with the flow dan buat saja kerja. Niat aku memang untuk kerja sahaja, aku perlu kerja untuk aku dan demi keluarga.”
Stress atau tak pada permulannya?
“Stres! Aku belum biasa dengan suasana kerja yang memerlukan aku berjumpa ramai orang. Tamat saja AF aku terus join The fabulous Cats, satu kumpulan yang besar pada waktu itu. Aku pening sekejap. Aku kena berjumpa dan bercakap dengan ramai orang. Bila kita menyanyi dalam kumpulan kita kena bahagi-bahagi payment, dan Aku mula faham ‘oh macam ni kalau berkumpulan.”
Selepas selesai dengan Akademi fantasia, diserap masuk menyertai kumpulan yang popular. Pernah terleka dengan populariti pada permulaan itu?
“Aku tak pernah rasa diri aku popular Bids. Malah hingga sekarang pun aku rasa aku tak popular. Macam aku cakap menyanyi adalah pekerjaan aku. Memang dah ditakdirkan rezeki aku dalam bidang nyanyian. Aku sama saja dengan orang lain.”
“Sama macam orang yang lain yang bekerja cuma kerja yang aku buat ini menyanyi, orang kenal. Apa-apa pun aku kena cari duit,”
Aliran muzik Zizi hari ini menjurus ke arah rap atau hip-hop, dan ia bermula sejak dia mula menyertai kumpulan Nukilan, satu projek yang diasaskan oleh penyanyi rap terkenal, Malique. Dari situlah Zizi mula bereksplorasi dengan muzik itu.
Boleh kongsikan pengalaman awal Zizi bermesra dengan muzik rap?
“Semuanya bermula pada tahun 2014, waktu itu aku bersama Afif (juga bekas peserta Akademi fantasia) dan Kmy Kmo (kini popular dengan lagu 7 Nasihat Bersama Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Luca Sickta disatukan dalam kumpulan Nukilan. Bila bekerja dengan abang Malique aku selalu dibiasakan mendengar lagu-lagu rap. Dia yang galakkan untuk aku cuba, dan aku buat video lagu dia dan benda itu jadi viral. Abang Malique kata aku boleh rap cuma Aku kena beranikan diri untuk cuba. Bila dia suruh Aku buat saja, Aku langgar hahaha…!Lama-lama aku sedar orang sebenarnya suka dengar aku membebel bukannya menyanyi,” Zizi ketawa lagi.
Bagaimana pula dengan transisi dari rap ke dangdut?
Itu bermula atas dorongan arwah Pak Ngah Suhaimi. Dia sebenarnya yang suruh aku cuba sebab dia tahu aku boleh menyanyi lagu tradisional. Dia juga yang suruh aku pergi audition D’Academy Asia. Arwah Pak Ngah pesan kalau nak jadi penyanyi yang bagus mesti cuba semua bunyi.”
“Aku ingat lagi dia kata ‘kau jadi penyanyi jangan malas, kena berani. Kalau kau tak tahu nyanyi dangdut, kau belajar. Kenapa kau nak jadi malas?’.
“Akhirnya aku pergi audition itu di KL dan dia orang suruh aku rap sebab dia dia orang aku boleh rap. Bila dapat bolos ke program ini di Indonesia aku masih masukkan elemen hip-hop dalam lagu dangdut yang aku nyanyi. Tapi aku bertahan sampai top 18 saja, okeylah kan dari 36 orang. Waktu terkeluar itu aku memang dah agak journey aku sampai situ saja sebab peserta yang tinggal memang hebat-hebat, bayangkanlah yang dari Malaysia saja ada Asmidar dan Syura yang aku rasa memang hebat nyanyi dangdut.
Apa lagi genre yang ingin dicuba selepas ini?
Belum ada lagi, Aku pun belum tahu lagi. Aku sudah rap, dangdut, pop dan yang baru lo-fi, nyanyi nasyid pun sudah. Tunggulah nanti.
Artikel Berkaitan: 10 Fakta Menarik Mengenai Album Ikonik Adele ‘21’