Selama bertahun-tahun model dan pelakon, Evan Rachel Wood berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penderaan, serangan seksual dan pemerkosaan.
Namun tidak sesekali Wood menamakan pemangsa yang melakukan keganasan tersebut, sehinggalah Isnin lalu apabila dia tampil membuat pendedahan di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, pelakon Kajillionaire ini mengejutkan orang ramai apabila mendedahkan dirinya hidup dalam ketakutan sepanjang menjalin hubungan dengan penyanyi rock, Marilyn Manson.
Hubungan pasangan ini bermula pada 2007, sewaktu Manson berusia 38 dan Wood 19 tahun. Pada 2010, mereka mengikat tali pertunangan namun berpisah pada tahun yang sama.
“Nama pemangsa tersebut adalah Brian Warner, juga dikenali dunia sebagai Marilyn Manson. Dia mula membentuk saya sewaktu saya bergelar remaja dan mendera saya dengan teruk selama bertahun-tahun. Saya dimanipulasi supaya menyerah diri. Saya sudah tidak tahan hidup dalam ketakutan disebabkan penganiayaan, fitnah atau peras ugut.
“Saya berada di sini untuk mendedahkan siapa lelaki berbahaya ini dan menyeru industri-industri yang menyokongnya supaya membuka mata, sebelum dia membahayakan lebih banyak nyawa lagi. Saya berdiri bersama mangsa-mangsa lain yang tidak akan berdiam diri lagi,” tulisnya.
Pada 2018, Wood memberi testimoni penuh emosi di hadapan Jawatankuasa Mahkamah Persekutuan mencadangkan Akta Phoenix atas penganiayaan yang dialaminya, termasuk ugutan, penderaan emosi yang teruk dan pemerkosaan.
“Dan paling teruk, ritual menyakitkan di mana kaki dan tangan saya digantung dengan tujuan untuk mendera secara fizikal dan mental. Sewaktu dipukul, apa yang saya fikirkan hanyalah kematian,” ujarnya. Waktu itu, dia tidak mendedahkan sebarang nama kepada mahkamah.
Selain Wood, sekurang-kurangnya enam lagi wanita turut membuat pendedahan pernah menjadi mangsa Manson. Tuduhan itu merangkumi penderaan seksual, psikologi, keganasan dan pelbagai gangguan lain.
Seorang wanita bernama Gabriella menulis, “Kali pertama bertemu, ayat pertama yang dia katakan adalah ‘mahu menggigit saya’. Kami berborak dan dia mengatakan bagai telah mengenali saya bertahun lamanya, lalu menawarkan saya kokain. Dia minta saya tanggalkan pakaian dan mandi di hadapannya. Kali kedua bertemu, dia memecahkan gelas di bilik hotel dan mengajak saya membuat pakatan darah. Dia menggores tangan kami dengan serpihan kaca.”
Bukan itu sahaja, dia sering dirogol dan tubuhnya yang diikat tanpa pakaian dirakam tanpa kerelaan dan dikongsi bersama teman-teman Manson.
“Saya tidak dibenarkan memakai seluar. Saya dipaksa menukar warna rambut dari merah jambu ke perang. Dia sering melempar objek seperti gelas ke arah saya. Dia mencederakan saya ketika seks. Dia juga menggelar saya autistik dan merosakkan barang peribadi saya.”
Seorang lagi mangsa, McNeilly mendedahkan pengalaman serupa dan mengakui menderita gangguan stres pasca trauma (PTSD) dan masalah mental disebabkan trauma yang dihadapinya.
“Saya percaya Manson akan merosakkan kehidupan lebih ramai orang. Saya mahu dia bertanggungjawab atas kejahatan yang dilakukannya,” dia menulis.
Beberapa jam selepas pendedahan tersebut, Manson digugurkan serta-merta daripada syarikat rakaman Loma Vista Recordings. Keputusan itu diumumkan sendiri oleh syarikat tersebut yang memberitahu, mereka turut menghentikan sebarang kerjasama melibatkan penyanyi itu.
Foto: Stefanie Keenan/Getty Images
Baca: FKA Twigs Menjadi Mangsa Rasisme Sewaktu Bergelar Kekasih Robert Pattinson