Seorang demi seorang selebriti membuat pendedahan tentang kesihatan mental yang dialami. Selepas Halsey dan Billie Eilish, kini giliran Lana Condor membuka mulut.
Condor yang memegang peranan utama dalam To All The Boys I Loved Before mendedahkan, kesihatan mentalnya menjadi teruk ketika filem itu ditayangkan di Netflix kerana ia jauh melebihi jangkaannya.
“Filem pertama mendapat sambutan yang sangat hebat daripada apa yang saya bayangkan dalam mimpi. Dalam waktu sangat pantas, ia mengubah kehidupan saya,” jelasnya kepada Self.
Condor membuat kemunculan pertama sebagai Lara Jean Song, remaja yang obses dengan cinta dalam filem romatik-komedi pada 2018. Filem ini berdasarkan siri novel hasil tulisan Henny Han.
Ia meraih kejayaan luar biasa, meletakkan Condor dalam status selebriti A-list, menukar pelakon gandingan Noah Centineo menjadi teman lelakinya di internet, malah turut melahirkan dua sekual yang juga diadaptasi daripada novel Hanny Han.
Filem kedua ditayangkan pada 2020 manakala filem ketiga dan terakhir akan disiarkan pada 12 Februari akan datang.
Condor menambah, selain populariti To All The Boys yang melebihi jangkaan, dia juga mengalami kecelaruan emosi daripada penggambaran drama Deadly Class. Memegang watak sebagai pembunuh bernama Saya, dia mengakui siri ini sangat gelap.
“Saya bersetuju untuk terlibat dalam siri ini kerana ia peluang sekali seumur hidup dan ingin manfaatkannya, dan mahu berasa bahawa saya benar-benar mengaut semua peluang yang ada. Namun dari segi mental, saya tidak pernah berasa lebih teruk daripada ini.”
Dia menambah, “Saya sangat tertekan. Saya pulang ke rumah pada waktu malam dan tidak mampu berbicara. Tidak mampu makan, tidak mampu lena. Saya tidur dalam keadaan menggeletar, bangun juga dalam keadaan sama kerana terlalu banyak rangsangan.”
Sampai satu tahap, dia tidak boleh menerimanya lagi dan akhirnya meluahkan segala kegusaran kepada pasukannya.
“Saya menangis tanpa henti ketika memberitahu mereka bahawa saya tidak berasa okey. Mereka semua terkejut kerana saya tidak pernah berkongsi perasaan saya. Tiada siapa tahu.”
Selepas berterus-terang dan mendapat sokongan daripada ibu bapa, Condor berjaya memulihkan kesihatan mentalnya.
“Setelah berkongsi dan bersikap terbuka dengan semua orang, saya melalui perubahan besar. Mereka benar-benar membantu saya mengemudi industri ini dalam cara yang lebih sihat. Kini saya berasa bahawa saya boleh lakukan apa yang saya suka dan menjadi insan yang saya mahukan untuk diri saya.”
Foto: Ben Watts
Baca: Billie Eilish: Imej Tubuh, Pakaian Longgar & Kesihatan Mental