Watak Daphne Bridgerton cukup menonjol menerusi siri yang sedang hangat di Netflix, selain karakter, betapa cantiknya solekan juga kostumnya turut menjadi daya penarik penonton melekat menghabiskan siri ini dari awal hingga akhir.
Di saat PKP yang akan terus bersambung sehingga 4 Mac ini, pastinya sebahagian kita akan terus terperap di rumah dan salah satu rutin lazimnya ialah menonton Netflix. Antara yang menjadi buah mulut ialah siri Bridgerton, yakni kisah yang diadaptasi daripada novel laris hasil nukilan Julia Quinn. Selain jalan ceritanya yang menarik perhatian hinggakan akan disambung ke musim kedua, salah satu yang menjadi daya penarik siri ini adalah kostum-kostum yang digayakan, cukup teliti dan dramatik.
Lagi satu ramai juga yang gemarkan gaya solekanw atak-watak di dalam filem ini, tidak berlebihan, sesuai dengan watak juga jalan cerita. Malah saya dapati solekannya sangat sesuai digayakan pada era masa kini. EH! bawakan tip juga idea bagaimana untuk mendapatkan gaya solekan serupa teraju utama Bridgerton iaitu Daphne Bridgerton, watak yang digalas sempurna oleh aktres kelahiran United Kingdom, Phoebe Dynevor.
ASAS YANG SEMULA JADI
Menurut jurusolek Marc Pilcher yang dipertanggungjawabkan mengetuai pasukan solekan, dia cukup bertuah kerana majoriti pelakon siri ini memiliki kulit yanag cantik. Dalam satu temubualnya dengan majalah Glamour, dia berkata setiap hari dia akan bekalkan pupur muka untuk pelakonnya bawa pulang. Dan mereka akan memamaki pupur di rumah termasuk pupur mata sepanjang perjalanan ke set penggambaran.
“Saya akan tanggalkan pupur yang Phoebe pakai sewaktu saya mahu memulakan solekan. Asas solekan saya lebih senang memilih bedak asas bertekstur ringan. Biasanya saya menggunakan Chanel Les Beiges Healthy Glow Foundation dan gandingkan bersama bedak asas dari Laura Mercier,” kongsi Marc lagi.
Kunci wajah yang segar dalam siri ini adalah pada penggunaan pemerah pipi. Saya perhatikan Daphne Bridgerton’ sering tampil dengan buah pipi yang kemerah-merahan, nampak semula jadi dan menjadi pemanis pada wajahnya. Jika anda mahukan gaya sebegini, boleh cuba menyapu pemerah pipi dalam tekstur krim. Tepekkan menggunakan jari kemudian mesrakannya pada kulit dengan menggunakan berus atau beauty blender.
MATA MENAWAN
Untuk solekan mata pula, gunakan pembayang mata coklat dan pic dalam tekstur pusam. Elakkan yang berkilat, dan kalau boleh mesrakan warna menggunakan berus hingga warnanya pudar. Tambah sedikit penggaris mata untuk membuat definisi mata lebih berkarakter. Kening pula dilukis senatural mungkin, tidak terlalu pekat dan gunakan maskara kening untuk merapikannya.
Perhatikan betul-betul, apa yang membuatkan kita jatuh cinta pada look Daphne ialah pada bulu matanya yang panjang dan lentik. Jadi, untuk meniru gaya solekannya anda kena fokus pada penggunaan maskara. Gunakan pelentik bulu mata sebelum menggunakan maskara. Sapukan dari pangkal bulu mata kerana itu adalah asas penting untuk ‘memegang’ pangkal bulu mata untuk lentik.
Artikel Berkaitan: Dolphin Skin, Terma Solekan Baharu Mesti Kamu Ketahui
CALITAN BIBIR
Warna gincu yang dipakai Daphne juga sangat natural, tidak terang, bagaikan tidak bergincu. Menurut Marc, dia banyak menggunakan pensel bibir. Dia akan melukis bentuk bibir dan memenuhkannya dengan pensel bibir, kemudian barulah dia menyapu lip stain dan dia banyak menyapu pelembap bibir untuk memastikan tekstur bibir nampak lembap dan segar.