Satu tuntutan mahkamah telah difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di California terhadap Subway kerana didakwa menggunakan campuran bahan yang tidak mengandungi tuna sebenar pada sandwic mereka.
Menurut laporan Hypebeast.com, Subway telah menerima satu tuntutan mahkamah berkenaan salah satu sandwic paling popular mereka. Berita yang mengejutkan itu melaporkan rangkaian sandwic terbesar itu telah menggunakan bahan campuran yang tidak mengandungi tuna untuk sandwic tuna mereka. Tuntutan mahkamah itu tekah difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Daerah California Utara.
Tuntutan mahkamah itu mendakwa sandwic tuna yang ditawarkan di seluruh kedai mereka di seluruh dunia tidak mengandungi tuna sebenar. Ia telah difailkan oleh plaintif, Karen Dhanowa dan Nilima Amin dari Bay Area yang menyaman Subway atas penipuan, memberi gambaran yang salah secara sengaja dan beberapa tuntutan tambahan.
Walau bagaimanapun, Subway telah membidas dakwaan tersebut. Wakil kedai rantaian makanan segera terbesar dunia itu telah mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa semua bahan yang digunakan adalah asli. Mereka menggunakan ikan tuna liar yang ditangkap secara komersial di lautan.
Menurut laporan The Washington Post, wakil Subway iaitu Maggie Truax telah mengeluarkan kenyataan rasmi selepas tuntutan mahkamah itu dilakukan. “Tuduhan tidak berasas ini memberikan impak kepada kedai rantaian kami, pemilik bisnes kecil yang telah bekerja keras untuk memastikan semua produk Subway mencapai standard kualiti tertinggi, termasuklah tuna,” kata Maggie Traux. Dia menambah, “Malangnya, tuntutan mahkamah ini telah menjadi trend oleh pihak plaintif yang ditujukan kepada industri makanana dala usaha untuk mencipta nama mereka sendiri.”
Untuk mendapatkan kebenaran, portal berita insideedition.com telah melakukan kajian mereka sendiri. Mereka telah menjalankan ujian DNA ke atas tiga sandwich yang dibeli di tiga kedai Subway yang berbeza di kota New York. Keputusan mendapati ketiga-tiga sandwic tersebut menggunakan tuna yang sebenar sebagai bahan utama mereka.
Foto: subway.com
Baca lebih lanjut: Jam Tangan Swatch X MoMA: Siri Museum Journey