Jika anda seorang ARMY, pasti anda teruja untuk melihat persembahan kumpulan BTS dalam rancangan MTV Unplugged yang berlangsung hari ini.
Kesemua ahli BTS; Jin, RM, J-Hope, Suga, Jimin, V dan Jungkook akan mempersembahan vokal hebat mereka secara atas talian. Walaupun ditayangkan di Amerika Syarikat, sesi BTS ini dirakam di Seoul, Korea Selatan dan menampilkan lagu-lagu dari album terbaharu mereka, BE, lagu hit lain serta kejutan buat peminat.
MTV Unplugged adalah rancangan muzik istimewa yang diterbitkan pada 1989. Sejak itu, ia telah menampilkan barisan pemuzik tersohor seperti Nirvana, Tony Bennett, Mariah Carey, Aerosmith, LL Cool J, Bob Dylan, George Michael, Bjork, Lauryn Hill dan Jay-Z.
Kumpulan ini merupakan artis K-Pop pertama yang diundang membuat persembahan dalam rancangan tersebut. Sebelum ini, mereka turut mencipta sejarah apabila menjadi artis K-Pop pertama tercalon dalam anugerah Grammy ke-63 yang bakal berlangsung Mac ini.
Menurut siaran media, konsert yang diberi nama MTV Unplugged Presents: BTS ini akan menghidangkan peminat dengan lagu hit daripada album terbaharu, BE (Essential Edition) dalam versi yang tidak pernah didengari sebelum ini dan dalam suasana paling intim.
Album BE yang dilancarkan pada November tahun lalu membariskan lapan lagu termasuk dua hit yang menjuarai carta Billboard Hot 100, Dynamite dan Life Goes On. Ini merupakan kali pertama kumpulan ini menjuarai carta tersebut.
Anda boleh menonton tayangan perdana MTV Unplugged Presents: BTS yang disiarkan secara serentak di seluruh dunia hari ini bermula jam 10 pagi.
Foto: Cindy Ord/WireImage
Baca: Persembahan Emosi BTS ‘Life Goes On’ di ‘The Late Late Show With James Corden’