Beberapa hari lalu, seorang pengacara radio di German mengeluarkan kenyataan berbaur rasisme terhadap kumpulan K-Pop terkenal, BTS.
Sewaktu mengacarakan sebuah program secara langsung di stesen radio Bayern3, Matthias Matuschik memainkan lagu Coldplay berjudul Fix You yang dinyanyikan semula oleh BTS dan dengan pantas mengecam nyanyian tersebut sebagai satu sumpahan. Dia kemudian menyamakan kumpulan tersebut dengan Covid-19.
“BTS ibarat virus yang teruk, semoga ada yang berjaya menemui vaksin untuk kegilaan ini dalam masa terdekat.”
Perbuatan tersebut menerima kecaman daripada orang ramai yang menganggap ia sebagai penghinaan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di saat sentimen anti-Asia berada di tahap tertinggi sejak pandemik bermula pada akhir 2019.
Malah Bayern3 turut menerima kritikan dan serangan komen daripada peminat BTS, ARMY di media sosial yang dikenali sebagai fanatik serta sangat melindungi artis kesayangan mereka.
Matuschik akhirnya membuat permohonan maaf namun menafikan bersikap prejudis terhadap penduduk negara lain atau xenofobia. Dia menambah, gurauan mengaitkan BTS dengan pandemik Covid-19 juga tidak benar.
“Saya faham dan menerima bahawa saya mungkin telah mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan dan perkauman, terutama kepada komuniti Asia. Saya tidak pernah berniat untuk melakukannya.”