Baru-baru ini penyanyi pop, Billie Eilish melancarkan filem dokumentari dengan kerjasama Apple TV+ berjudul Billie Eilish: The World’s A Little Blurry.
Menerusi dokumentari tersebut, Billie memberi peluang kepada peminat untuk menyelami kehidupan peribadi dan kerjayanya. Malah, dia turut berkongsi mengenai masalah kesihatan mental yang pernah dihadapinya.
“Saya melihat ke arah orang ramai dan menyedari setiap orang yang berada di situ sedang melalui sesuatu…dan saya mempunyai masalah yang sama,” katanya.
Penyanyi Bad Guy ini juga mendedahkan kesengsaraan hidup yang dilaluinya dari usia 13 hingga 16 tahun. Dia mengakui pernah terfikir untuk meragut nyawanya dan mencederakan diri sendiri.
“Saya tidak pernah menyangka akan hidup sampai ke usia sekarang ini. Saya tidak pernah gembira.”
Salah satu rahsia yang turut dikongsi dalam dokumentari ini adalah mengenai perhubungan dan perpisahannya dengan teman lelaki, Brandon Quention Adams atau Q.
Tiada siapa menyangka penyanyi berusia 19 ini pernah menjalin hubungan asmara dengan rapper yang dikenali dengan nama 7:AMP ini kerana dia sangat tertutup mengenai kehidupan peribadi apatah lagi hal percintaan.
“Saya tidak gembira. Saya tidak mahu apa yang dimahukannya dan saya rasa ini tidak adil buatnya. Anda tidak seharusnya berada dalam perhubungan di mana anda berasa sangat teruja mengenai sesuatu namun pasangan anda pula sebaliknya,” katanya.
“Ini tidak adil untuk saya, untuk dia juga. Tiada usaha yang diletakkan dalam perhubungan ini. Malah saya katakan kepadanya, ‘Anda tidak mempunyai rasa cinta yang cukup untuk diri sendiri, apatah lagi untuk saya. Anda sangka anda menyintai saya namun hakikatnya tidak.’”