Peminat boleh menjangkakan sesuatu yang baru daripada Rihanna tidak lama lagi! Bukan lagu atau album, tetapi rangkaian penjagaan rambut di bawah jenama miliknya, Fenty.
Menurut dokumen daripada Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat, Roraj Trade LLC iaitu syarikat milik Rihanna baru sahaja membuat permohonan untuk cap dagangan Fenty Hair.
Secara umumnya ia merangkumi syampu anti-kelemumur, persediaan untuk perawatan rambut, produk pemanjangan rambut, pewarna rambut dan sebagainya, menurut akaun Twitter @TeamOfRihanna.
Jika berita yang tersebar ini benar, Fenty Hair akan menyertai koleksi produk sedia ada iaitu Fenty Beauty dan Fenty Skin. Kedua-dua jenama ini telah mencapai kejayaan luar biasa dan kekal menjadi produk terlaris di kalangan pengguna. Malah jenama terkenal, Victoria’s Secret mulai ‘kalah’ di mata beberapa pihak disebabkan Fenty.
Khabar mengenai Fenty Hair ini muncul selepas Rihanna mengumumkan bahawa jenama fesyen mewah, Savage x Fenty akan berehat buat sementara waktu sejak dilancarkan pada 2018. Keputusan itu dibuat oleh Rihanna yang juga rakan kongsi LVMH untuk memberi fokus kepada jenama lain.