Sheena Liam, pemenang Asia’s Next Top Model berkolaborasi dengan COACH untuk menghasilkan sulaman eksklusif buat beg tangan Ergo dan Swinger.
Jenama fesyen terkenal yang berasal dari New York, Coach melancarkan koleksi musim bunga 2021, Coach Forever yang mana himpunan ini menggabungkan ilham seni reka vintaj dan trend masa kini dan lebih istimewa untuk koleksi ini Coach turut memperkenalkan khidmat sulaman eksklusif. Tawaran khidmat seni sulaman ini berlangsung dari 17 Mac hingga 11 April 2021. Di Malaysia Hanya dua butik Coach yang menawarkan khidmat ini iaitu di Pavilion Elite Kuala Lumpur dan Gurney Plaza Penang.
Untuk koleksi musim bunga 2021, sulaman antara titik tumpu dalam koleksi Coach Forever. Coach memperkenalkan perkhidmatan sulaman eksklusif dengan kolaborasi istimewa bersama bakat tempatan di Malaysia. Untuk membuat motif dan perkataan yang dipilih, pakar sulam pilihan Coach ini akan ditempatkan di butik Coach Pavilion Elite dari 16 hingga 23 Mac dan dari 19 hingga 23 Mac di Coach Gurney Plaza Penang.
Lebih istimewa, Coach turutbekerjasama dengan artis dan pemenang Asia Next Top Model, Sheena Liam, yang memang mahir dalam kerja-kerja sulaman. Menawarkan reka bentuk yang benar-benar unik, dia telah membuat sulaman motif bentuk badan wanita yang dibadikan pada beg-beg Coach iaitu Coach Ergo dan Swinger, dua rekaan beg eksklusif dari koleksi musim bunga.
Coach Forever adalah refleksi mengenai hal-hal yang paling penting sekarang yakni merealisasikan rasa tanggungjawab kepada kesejahteraan sejagat, baik dari segi pemilihan mahupun penggunaan semula material. Buah fikir ini datang dari Pengarah Kreatif Pengarah Coach sendiri, Stuart Vevers yang mahu setiap himpunan Coach bukan Sahaja tahan lama malah gayanya relevan dan boleh diturunkan kepada generasi akan datang.
Merealisasikan visi mereka ini, Coach Forever memperkenalkan beg yang diperbuat daripada bahan pewarna semula jadi dan penggunaan bahan kulit kitar semula misalnya hasil lebihan material yang digunakan dalam pembuatan beg Coach yang lain. Ini termasuk penghasilan aksesori dan helaian RTW yang diperbuat daripada sisa-sisa kitaran, dan kepingan vintaj yang boleh diberikan sentuhan peribadi menerusi hiasan dan sulaman.
Malah unsur-unsur memelihara alam sekitar ini juga dapat dirasakan dari seni hiasan butik Coach Sendiri yang banyak ditata gaya dengan penggunaan pepohon hijau yang mana Stuart Vevers bergabung idea dengan Juergen Teller.
Artikel Berkaitan: Coach x Champion, Penyatuan Dua Label Ikonik Amerika
SEJENAK BERSAMA SHEENA LIAM
Berapa lama masa diambil untuk menyiapkan sulaman ini?
Sukar untuk saya berikan jumlah masa yang tepat kerana semuanya diambil dari hasil kerja-kerja yang ada di dalam arkib saya. Ia bergantung kepada rekaan sulaman itu sendiri. Ada hasil sulaman yang anda lihat diambil dari hasil kerja saya lima tahun dulu. Coach datang ‘melamar’ saya lebih kurang sebulan lalu dan dari situ saya mula berfikir-fikir mencari apa yang sesuai untuk kolaborasi ini. Saya mahu kolaborasi ini tidak lari jauh dari apa yang sudah saya buat jadi kerana itulah saya memilih figura perempuan sebagai subjek. Saya melihat sulaman figura sebegini adalah satu cara untuk saya menyampaikan cerita.
Saya perhatikan Sheena menggunakan benang hijau, ada kisah menarik sebalik ini?
Saya mula menggunakan benang hijau sejak tahun 2015 dan kekal menggunakannya sampai ke Hari Ini. Saya mahu lari dari seni sulaman tradisional, baik dari segi motif juga dari segi pemilihan warna benangnya.
Apa yang membuatkan Sheena terus dengan kerja-kerja menyulam ini?
Saya sukakan suasana sunyi, saya akan duduk dan fokus melakukan kerja saya. Selain itu apa yang membuatkan kerja menyulam ini menyeronokan adalah apabila orang respons kepada hasil kerja saya. Mereka berkongsi tafsiran mereka sendiri berpandukan apa yang mereka lihat. Misalnya adalah seorang wanita ini bercerita, apabila dia berpisah dengan suaminya yang kaki pukul, dia terus memotong rambutnya dan ini kerana dia terlihat sulaman motif wanita memotong rambut yang saya hasilkan. Mendengarkan kisah ini secara tidak langsung memberikan saya semangat untuk terus berkarya, tidak sangka kerja saya boleh menyentuh hati orang lain.
Bagaimana pengalaman bekerja dengan Coach?
Sejujurnya ini adalah kolaborasi komersial yang memang sudah lama saya nantikan. Mereka betul-betul memberi kepercayaan kepada saya dan memberi kebebasan sepenuhnya dalam menjayakan kolaborasi ini. Mereka terbuka dengan cadangan saya dan tiada siapa pun yang menyuruh saya menukar rekaan, pada saya ini adalah salah satu perkara yang menyeronokan, membuktikan mereka menghormati hasil seni orang lain.
Sulaman motif tangan yang ada pada salah satu beg Coach khabarnya adalah terjemahan kepada fungsi beg tangan itu sendiri, betul?
Oh sebenarnya sulaman motif tangan ini memang ada dalam arkib seni saya. Sewaktu mula-mula melukis saya memang susah untuk melukis tangan dengan baik. Jadi saya banyak berlatih, dan dalam buku lukisan saya berhelai-helai muka surat saya lukis bentuk tangan. Jadi saya pilih sulaman motif tangan sebagai terjemahan kepada kerja dan proses saya melatih menyulam motif tangan.
Adakah ini antara latihan awal Sheena dalam lukisan?
Tidak. Sewaktu mula-mula aktif melukis saya banyak berlatih dengan live drawing iaitu model duduk di depan saya dan saya lukis. Saya seronok melakukan live drawing kerana banyak perkara yang boleh saya tafsirkan menerusi hasil lukisan saya, cara mereka bernafas, bergerak dan ekspresi muka adakalanya boleh menterjemahkan hari-hari mereka, hari yang menyeronokan atau sebaliknya.
Selain sulaman figura wanita, apa lagi motif yang ingin Sheena cuba?
Saya mahu orang tahu yang saya bukan sekadar membuat sulaman. Ada banyak kerja-kerja seni yang saya suka. Saya sebenarnya suka melukis dan saya juga boleh bermain dengan tanah liat, cuma kebetulan hasil sulaman saya lebih dikenali. Jadi saya mahu terokai lebih lagi kebolehan saya dalam kerja-kerja seni lain.
FOTO-FOTO BELAKANG TABIR KERJA-KERJA SULAMAN
Artikel Berkaitan: Disney Dan Keith Haring Dipadukan Oleh Coach