Karya “Splash Planet” yang dihasilkan sendiri oleh Ed Sheeran telah berjaya mengumpulkan £51,000 (RM292,050) untuk membantu badan kebajikan Cancer Campaign di Suffolk, United Kingdom.
Ed Sheeran bukan sahaja terkenal sebagai seorang penyanyi dan pemuzik yang cukup berbakat. Kini, dia juga boleh melengkapkan resume kerjayanya sebagai seorang artis seni. Bintang yang popular dengan lagu hit seperti “Shape of You”, “Perfect”, dan “Thinking Out Loud” itu telah berjaya menjual karya lukisannya “Splash Planet” dengan berharga £51,000 (RM292,050) untuk membantu Cancer Campaign di Suffolk, United Kingdom.
Lukisan “Splash Planet” telah dijual secara lelongan untuk sebuah badan kebajikan yang fokus kepada penyakit kanser. Karya yang menampilkan percikan cat berwarna-warni yang seakan-akan karya ikonik oleh artis Jackson Pollock yang terkenal dengan lukisan abstract expressionist. Lukisan itu adalah salah satu imej yang digunakan untuk muka hadapan single “Afterglow” pada tahun lalu.
Menurut wakil Cancer Campaign, lukisan itu kini dimiliki oleh Claire Faynor dari Vermont, Amerika Syarikat. Wanita berusia 22 tahun itu merupakan salah seorang yang telah membuat bidaan dengan membayar sebanyak £20 untuk satu tiket sebagai derma kepada badan kebajikan tersebut. Secara keseluruhan, kempen kebajikan itu berjaya mengumpulkan £51,000 daripada penjualan tiket dan juga derma dari seluruh dunia.
Sejak konsert jelajah dunia Devide berakhir pada 2019, Ed Sheeran banyak menghabiskan masanya dengan melukis. Menurutnya, ia adalah salah satu cara untuk dia untuk menjadi lebih kreatif selain daripada menyanyi dan membuat muzik. Sebelum ini, pemuzik itu juga pernah mendermakan karya lukisannya berjudul “Dab 2” yang berjaya dilelongkan untuk badan kebajikan dengan harga £40,000. Dia menggalakkan peminatnya untuk mencuba melukis kerana padanya ia sangat menyeronokan.
Foto: Instagram @teddysphotos
Baca lebih lanjut: 5 Kejutan Dan ‘Snub’ Nominasi Oscar 2021