“Kalau orang tengok saya ni kuat, emak saya lagi kuat. Kekuatan dan sifat kental ini saya warisi dari emak,” luah Nabila Razali saat ditemubual media sewaktu majlis pengumuman kolaborasinya bersama jenama makanan, Big Mouth malam tadi.
Di majlis yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpuritu Nabila turut menjelaskan pengalamannya berhadapan dengan kesedihan selepas kesilapan sewaktu menyampaikan lagu hitnya Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 pada 14 Mac lalu.
Dalam temubual itu juga Nabila menegaskan bahawa dia tidak akan berhenti menyanyi dan kecaman yang diterima rentetan daripada persembahan itu tidak akan menjadi titik noktah kepada karier nyanyiannya.
“Saya akan terus menyanyi, dan jika ada rezeki ke pentas AJL di masa akan datang, saya tetap mahu melakukan persembahan jika diizinkan, Insya-Allah,” katanya yang menggayakan gaun putih ilham Nurita Harith di malam penuh makna itu.
“Seperti Datuk Syafinaz cakap, apa yang berlaku semalam kita tidak boleh ubah apa-apa, tapi apa yang akan berlaku esok dan masa mendatang kita boleh rancang dan perbaiki,” tambahnya lagi.
Artikel Berkaitan: AJL35, Solekan Siapa Paling Menonjol
Dalam pada itu Nabila yag mula hit dengan lagu Cemburu menjelaskan bahawa insiden yang berlaku di AJL juga sebenarnya telah membuka matanya, mengenali siapa lawan siapa kawan. “Tak sangka orang yang makan satu meja dengan saya sebelum ini pun hendak bercakap tentang hal ini. Tak perlu dinyatakan siapa, tapi siapa yang tahu, tahulah. Mereka ni bercakap seolah-olah mereka kenal saya dari kecil. Saya menyanyi untuk kedua ibu bapa saya, dan kalau saya menyanyi untuk orang mungkin dah lama saya berhenti.”
Pada malam pelancaran tersebut, Nabila turut menyampaikan lagu Peluang Kedua secara live, dan perkongsian video nyanyiannya di IG TV @ehmalaysia mendapat komen positif.
Kolaborasinya bersama Big Mouth menykasikan empat perisa kek lapis dan nama-namanya diinspirasikan daripada lagu-lagu hitnya seperti Cumi-Cumi, Jealous (Cemburu), Second Chance dan Vroom Vroom.