Neelofa berkongsi detik perkenalannya dengan Haris yang bermula sejak tahun 2017 dan hanya mula rapat dua tahun kemudian.
Sabtu lalu telah selamat berlangsung majlis pernikahan selebriti tersohor, Neelofa dan pasangannya Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz. Majlis pernikahan itu boleh saya simpulkan sebagai sebuah majlis yang dinanti-nantikan oleh pemimat industri hiburan tanah air khususnya peminat Neelofa. Malah sambutan kepada video dan muat naik gambar di Instagram EH! sendiri.
Pada hari Sabtu itu Neelofa dinikahkan oleh adik lelakinya sendiri, Aqif dalam suasana yang cukup gemilang di Grand Hyatt, tiap ruang dilatari warna putih dengan rimbunan bunga yang membuatkan suasana bertambah indah. Dekorasi disempurnakan oleh Reka Teemor turut mendapat tajaan dekorasi lilin dari Diptyque. Di majlis itu Neelofa menggayakan busana ilham prekea fesyen terkenal, Alia Bastamam dan solekannya pula disempurnakan oleh Sharman dan tudungnya dililit kemas oleh Didiyana Ehsan.
Antara selebriti yang hadir ke memeriahkan majlis pernikahan Neelofa dan Haris ialah Awal Ashaari, Scha Alyahya, Izara Aishah, Datuk Rizalman Ibrahim, Hannah Delisha dan Shalma Aina. Tetamu juga membawa pulang bingkisan istimewa daripada Lancome dan Swarovski.
Kami kongsikan lapan soalan yang sempat dijawab oleh Neelofa tentang majlis perkahwinan dan perancanganya selepas mendirikan rumahtangga.
Boleh kongsikan sikit tentang bagaimana detik perkenalan antara Lofa dengan suami dan bila Lofa mula merasakan Haris adalah orangnya?
Sejujurnya, saya mula mengenali Haris pada tahun 2017. Sekitar bulan Jun jika tidak silap saya. Kemudian pada tahun 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek. Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.
Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia merupakan seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa. Dia juga merupakan seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya berhadapan dengan sebarang kesulitan atau apa sahaja masalah.
Artikel Berkaitan: #EHklusif: 8 Soalan Bersama Alia Bastamam, Pereka Gaun Kahwin Neelofa
Boleh ceritakan sikit tentang majlis pernikahan Lofa yang berlangsung Sabtu lalu?
Alhamdulillah majlis yang kami rancang selamat dilangsungkan. Pereka atau perancang majlis perkahwinan saya ini iaitu Reka Teemor berjaya merealisasikan keseluruhan dekorasi untuk hanya dalam sekitar sebulan walaupun ada kekangan berlaku apabila kerajaan mengumumkan PKP2.0 sekitar penghujung tahun lalu. Tapi saya sangat bersyukur kerana apa yang dirancang, dapat dilaksanakan. Kami dan Reka Teemor bersetuju untuk memilih warna putih sebagai satu-satunya warna dalam majlis ini.
Berapakah hantaran yang diterima dan dipulangkan serta mas kahwin yang dihadiahkan daripada pihak lelaki?
Untuk hantaran kami memberi hanya yang wajib. Bagaimanapun, untuk mas kahwin, saya menerima sebentuk cincin daripada pihak lelaki.
Selepas ini apa perancangan karier Lofa?
Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk berehat sementara kerana banyak hal perniagaan yang memerlukan pemantauan saya walaupun selepas majlis berlangsung. Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan. Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga.
Bagaimana Lofa mempersiapkan diri Lofa untuk memikul lagi satu tanggungjawab baru, yakni tanggungjawab sebagai seorang isteri?
Saya juga kerap bertanya dengan ibu dan rakan-rakan terdekat, banyak nasihat yang diberikan dan insya-Allah, saya akan jadikan nasihat tersebut sebagai panduan. Dalam masa yang sama, saya juga berkesempatan menghadiri kelas-kelas khusus yang memfokuskan kepada persediaan memasuki alam rumah tangga.
Haris dan Lofa telah menubuhkan Markaz Tijaari sebelum ini. Adakah akan ada kolaborasi lain antara kalian berdua pada masa depan?
Untuk kolaborasi projek, kami fokuskan Markaz Tijaari terlebih dahulu. Selain itu, untuk pelan jangka masa panjang pula, kami juga merancang untuk memperkenalkan produk- produk lain di bawah jenama tersebut, insya-Allah.
Adakah Lofa meletakkan harapan untuk menerima zuriat pada masa terdekat?
Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Yang Maha Esa. Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka.
Harapan Neelofa terhadap perkahwinan:
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan rahmat kepada keluarga kecil yang baru sahaja kami bina, dan semoga setiap rahmat itu dapat memupuk hubungan kami sebagai pasangan suami isteri. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya dan juga suami.
Artikel Berkaitan: Neelofa Tampil Perjelas Tuduhan Yang Tersebar Di Media Sosial