Selepas memenangi pertandingan muzik realiti Asian Wave di Shanghai, Shila Amzah memilih untuk menetap di Hong Kong bermula dari tahun 2012 sehingga 2014 untuk mengembangkan kerjayanya dalam arena pop China.
Namanya bukan sahaja dikenali di Malaysia, dia juga cukup terkenal di arena pop China selepas memenangi pertandingan nyanyian realiti Asian Wave pada 2012. Shila Amzah adalah seorang penyanyi dan penulis lirik yang tidak asing lagi. Selepas memenangi pertandingan muzik yang diadakan di Shanghai, China itu, dia mula menetap di Hong Kong dari tahun 2012 sehingga 2014 untuk mengembangkan kerjayanya dalam industri muzik China.
Berada di perantauan selama lebih dua tahun, pelbagai pengalaman yang dirasai sendiri oleh Shila Amzah. Lebih-lebih lagi ketika ketibaan bulan Ramadan dan Hari Raya di Hong Kong. Walaupun tidak dapat meraikan bersama keluarga di Malaysia, dia amat bersyukur dapat bertemu dengan masyarakat lokal Hong Kong yang mana dia banyak menghabiskan masa semasa bulan puasa.
Antara momen yang tidak dapat dilupakannya ketika di Hong Kong adalah apabila dia menghadiri jamuan bukan puasa di Kedutaan Besar Malaysia. Di situ, dia dapat meraikan Ramadan bersama rakan-rakan dari Malaysia dan orang Islam yang lain.
“Ia sangat menyeronokkan dan menggembirakan kerana saya rindukan kampung halaman ketika itu; mereka begitu ramah menjemput saya makan malam untuk berbuka puasa dan solat bersama. Itu sangat bermakna bagi saya,” kongsi penyanyi yang popular dengan lagu ‘Patah Seribu’ dan ‘Beribu Sesalan’ bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.
Ketika di sana, dia kerap kali mengunjungi restoran Halal yang terletak berhampiran Hotel Gold Coast. Setiap kali dia akan memesan menu kegemarannya iaitu ‘Biryani yang terhebat’. Manakala jika dia teringin untuk makanan hidangan selera tempatan pula, Shila akan pergi ke Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick di Wan Chai untuk mendapatkan dim sum dan sajian Cina asli.
“Walaupun saya biasanya memasak di rumah pada bulan Ramadan, kadang-kadang jika saya tidak berasa nak memasak, saya akan makan di restoran Halal di kawasan kejiranan saya dengan selesa. Agak banyak restoran mesra Muslim yang menyajikan setiap hidangan yang saya impikan. Contohnya, di sepanjang jalan di kawasan Wan Chai dan Teluk Causeway terdapat beberapa restoran Turki, dan di kawasan Kowloon pula terdapat beberapa kedai makan Indonesia dan Malaysia di mana saya boleh memenuhi keinginan Nasi Goreng saya,” tambahnya.
Sebagai seorang pemuzik, Shila sentiasa mencari inspirasi dari kawasan persekitarannya. Dan salah satu tempat kegemarannya adalah Kawasan sekitar Pelabuhan Wan Chai. Dia sering berjalan-jalan pada waktu petang untuk menikmati pemandangan yang mengagumkan, serta waktu malam adalah terbaik untuk melihat kota Hong Kong bersinar.
Satu lagi tempat kegemaran Shila untuk dikunjungi adalah Masjid Kowloon. Dia dapat menikmati seni bina Islam klasik yang terletak di tengah-tengah kawasan membeli-belah utama Tsim Sha Tsui yang sangat sibuk. Dalam mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan, dia akan melakukan senaman yang menyeronokan di Ocean Park Hong Kong yang menjadi tarikan utama di sana. Ia turut menyediakan restoran Halal dan bilik solat buat pengunjung Muslim.
Tidak sempurna jika tidak melawat tempat beli belah kegemaran Shila Amzah di Hong Kong. Dia menyukai ‘Sneakers Street’ di Mong Kok yang menjadi lokasi kegemaran peminat sniker, sama ada yang terkini mahupun edisi terhad. Dia sendiri pernah menjadi ‘pemandu pelancong’ dengan membawa rakan-rakannya ke sana untuk membli kasut terbaharu.
“Jika anda benar-benar ingin melibatkan diri di tempat baharu, anda perlu menghabiskan masa dengan hanya berada di sana; berada bersama orang ramai tempatan, mencuba makanan baharu dan meluangkan masa untuk memahami kehidupan orang tempatan. Berjalan di sekitar bandar adalah cara terbaik untuk benar-benar melihat semuanya. Shila benar-benar tak sabar untuk melawat Hong Kong apabila sekatan perjalanan ditarik semula,” tipnya buat yang mahu mengembara ke luar negara.
Hong Kong adalah Asia’s World City yang menjadi tumpuan ekspatriat dari seluruh dunia. Walaupun dengan hanya 300,000 komuniti minoriti Islam di sana, ia masih lagi menempatkan pelbagai restoran, kedai dan pasar yang menyajikan makanan Halal. Perlancongan Halal terus menjadi tumpuan buat Hong Kong Tourism Board dengan pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan Hong Kong sebagai destinasi perlancongan mesra Muslim utama.
Foto: Hong Kong Tourism Board & Getty Images
Baca lebih lanjut: 4 K-Drama Baharu Yang Pasti Buat Anda Teruja Mei Ini