Pertunjukan Chanel Cruise 21/22 yang berlangsung di Provence menyaksikan Lucia Pica bermain dengan celak hitam pekat, lantas mencipta gaya drama yang classy.
Pertunjukan himpunan Chanel Cruise 21/22 dipertontonkan dua minggu lalu, dan kali ini Virginie Viard mencedok inspirasi dari Provence yang terletak di selatan Perancis dalam menghasilkan himpunan yang sarat dengan gandingan warna monokrom hitam dan putih. Pementasan ini menunjukkan Chanel akan terus gah dengan DNA-nya yang setia dengan gaya klasik, classy dan timeless.
Menyempurnakan lagi persembahan fesyen yang dirakamkan di Carrières de Lumières di Les Baux-de-Provence, Lucia Pica, pengarah kreatif mekap dan warna global Chanel mencipta gaya solekan ringkas namun masih punya statement yang membuatkan penampilan himpunan ini sedikit ranggi.
Ilham riasan Lucia Pica kali ini ditumpukan pada solekan mata, sekali imbas mungkin ada yang berpendapat ilhamnya tidak jauh beza dengan himpunan musim luruh/dingin yang dipertontonkan beberapa bulan lalu. Mencetus kelainan, Lucia Pica mencipta garisan celak (penggaris mata) hitam pekat pada atas bulu mata dan bahagian bawah mata. Garisannya sedikit tebal untuk nampak lebih edgy. Yang istimewanya ilham Lucia kali ini dia tidak menyatukan hujung garisan sebaliknya memisahkannya yang membuatkan hujung garisan mata bercabang. Berbanding dengan solekan pertunjukan musim lalu yang mana Lucia mencipta gaya smokey eyes yang lebih dramatik.
Apa yang saya suka dalam solekan untuk musim ini ialah permainan pemerah pipi yang seakan ketara, tidak lagi sipi-sipi seperti selalu. Lucia seakan memberi isyarat inilah amsanya untuk semua berseronok dengan solekan, tidak perlu lagi tertumpu pada satu bahagian sahaja sebagai fokus. Buah pipi model-model yang melewati pentas peragaan kali ini cukup ‘blushy’ dengans erakan warna merah jambu, dan Lucia juga banyak bermain dengan bronzer untuk menonjolkan raut dan bentuk wajah model-model di Chanel.
Untuk asas solekan pula Lucia menyediakan kulit model-model terlebih dahulu dengan Hydra Beauty Micro Serum dan Camelia Water Cream sebelum wajah diratakan dengan bedak asaa dari rangkaian Les Beiges. Melengkapkan solekan ini Lucia menemankan bibir dengan calitan gincu yang cukup natural, cukuplah sekadar membuatkan bibir nampak sihat dan lembap tanpa calitanw arna yang terlalu menjerit.
Artikel Berkaitan: Chanel N°5, Lapan Ikon Yang Pernah Membintangi Iklannya