Alessandro Michele menyuntik elemen retro dan glamor Hollywood Pada himpunan kaca mata terbaru Gucci, Hollywood Forever.
Hollywood Forever menjadi idea kreatif terbaru pengarah kreatif Gucci Alessandro Michele menerusi himpunan kaca mata yang penuh glamor. Kaca mata dengan bingkai besar berserta perincian tatahan batu kristal yang berkilau-kilau mencetus gaya yang cukup glamorous dan boleh disimpulkan cukup ekstra!
Alessandro menceduk ilham Gaya glamor Bintang Hollywood sebagai inspirasi majornya untuk koleksi ini. Pernah dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2017, koleksi Hollywood Forever tahun ini diberi nafas berbeza yang mana sentuhannya tampil lebih vintaj namun masih berpaksi pada asas glamor. Gandingan elemen retro dengan sedikit nadi moden, bingkai-bingkai yang direka Alessandro menerusi himpunan ini punya karakter yang tersendiri pada setiap satunya. Bingkainya tampil dalam bentuk, ada yang bersegi, runcing di bahagian luar seperti mata kucing (cat-eye) dan ada juga yang lebih berkarakter dan ranggi.
Apa yang lebih menangkap perhatian tentunya kempen Hollywood Forever yang sarat dengan elemen yang menyeronokan yang mana tiga model pilihan Gucci disaksikan sedang berseronok di dalam tab mandi. Foto dan video kempen ini disempurnakan dengan set kamar mandi dengan marmar merah yang dilengkapi dengan buih-buih putih melitupi tubuh model-model yang membintangi kempen yang ditunjangi oleh artis, jurugambar dan pengarah, Harmony Korine.
Korine yang berasal dari California, Amerika Syarikat ini bukan sahaja berpengalaman mengarah kempen fesyen malah juga filem dan video muzik. Filem terakhirnya ialah The Beach Bum yang dibintangi oleh Matthew McCounaughey, Isla Fisher dan Snoop Dogg. Korine juga adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan video muzik Rihanna (Needed Me), Gucci Mane dan Travis Scott (Last Time) dan dia juga pernah mengarah kempen haruman Dior Addict.
Tonton video pendek kempen Hollywood Forever di bawah ini.
Artikel Berkaitan: GG Multicolor, Himpunan Gucci Penuh Warna