Sabun buku atau bar soap is making a big comeback. Dan saya percaya kehangatannya bukan sekadar trend semasa, ia datang dengan satu rejim penjagaan kulit yang penuh dengan pengalaman dan belaian nan tersendiri.
Masih jelas dan segar dalam ingatan saat saya berkunjung ke Nice, Perancis dua tahun lalu. Waktu itu musim luruh baru bermula, daun-daun hijau-kuning masih lagi berbaki di ranting-ranting pohon, belum luruh sepenuhnya. Di jalanan juga masih polos, belum dirimbuni daun kering. Suhunya menyenangkan, atmosferanya mendamaikan. Dan salah satu pengalaman menyeronokan sewaktu saya berpergian ke sana ialah sewaktu berkunjung ke pasar paginya. Selain tertarik melihat segarnya buah dan sayur-sayur yang bersusun di meja jualan, mata saya juga terleka melihat sabun buku yang berwarna-warni yang disusun rapat-rapat. Ia kelihatan ‘raw’ namun ada jiwanya sendiri. Melihatkannya, minda saya pantas disinggahi imej-imej vintaj, classy dan juga menyubur kembali memori zaman kecil. Saya pulang ke Kuala Lumpur dengan berbekalkan berbuku-buku sabun sebagai ole-ole buat teman di pejabat.
Saya orangnya old school, berbanding gel mandian saya lebih menggemari sabun buku. Malah bila ada peluang berpergian saya akan beli berbuku-buku sabun mandi, dan lazimnya saya dapatkan dari Zara Home. Bukan sekadar bahan memanjakan tubuh, ia juga saya jadikan sebagai pengharum almari baju.
Hari ini, dalam tidak sedar banyak jenama sabun buku lokal mencuri hati pembeli. Dulu, jika ke RIUH, ada beberapa peniaga yang menjual sabun buku. Dan saya percaya kebangkitan penjual sabun buku ini bukan sekadar trend, tapi ia lebih dari itu. Dan ia juga bukan sekadar datang dengan tawaran pelbagai bau tapi dilengkapi dengan fokus penjagaan dan belaian berbeza, baik dari melembap, memelihara kulit khususnya yang sensitif mahupun mengawal minyak.
SEJENAK BERSAMA PENGASAS LEENATURE
Saya mendekati Hazleen Farahin, pengasas dan pemilik Leenature, berbicara tentang pengalamannya membangunkan jenama sabun bukunya sendiri.
Bagaimana bermula dan dari mana datangnya inspirasi untuk melancarkan Leenature?
Sebenarnya inspirasi datang dari kawan saya sendiri. Melihatkan kejayaannya menghasilkan lilin yang dibuat sendiri membuatkan saya sedar sebenarnya orang sukakan item handmade. Dari situ tercetus untuk melancarkan sesuatu yang boleh saya hasilkan sendiri dan saya mahu sesuatu yang memang digunakan dalam rutin harian, secara tidak langsung bila pembeli gunakannya sehari-hari, mereka akan lebih mudah untuk ingat kepada jenama saya ini.
Apa yang membuatkan Leenature istimewa atau berbeza dengan produk serupa yang ada di pasaran?
Sabun yang saya hasilkan ringkas, diperbuat menggunakan minyak, sodium hydroxide dan air. Ia menggunakan lima jenis minyak iaitu minyak zaitun, palm, kelapa, badam dan kastor. Kelima-lima bahan yang saya gabungkan ini bermanfaat untuk membersih, melembap dan melembutkan kulit. Saya perasan bahan-bahan yang saya gunakan ini tidak digunakan di dalam mana-mana sabun yang berada di pasaran.
Apakah kesukaran atau proses yang rumit dalam penghasilan bar soap?
Bukan rumit tapi saya perlu belanjakan wang yang lebih untuk mendapatkan minyak esensi atau haruman yang berkualiti memandangkan tidak semua minyak esensi boleh dicampurkan dengan bahan-bahan yang saya gunakan untuk penghasilan sabun. Misalnya, ada bahan haruman yang saya gunakan baunya akan lenyap bila dicampurkan dengan bahan lain, dan adakalanya ia memberi kesan kepada bahan sabun misalnya menjadi keras.
Bagaimana pula dengan pemilihan bau?
Saya cuba buat kajian tentang bau-bau yang disukai oleh orang di luar sana termasuklah melalui tinjauan di Instagram.
Berdasarkan pengalaman atau trend pembeli, apakah jenis bau yang digemari majoriti pengguna Leenature?
Majoritinya menyenangi Ocean Breeze (baunya berangin) dan Call Me Honey (campuran Madu dan oatmeal).
Bagaimana pula dengan Leen, yang mana satu menjadi kegemaran peribadi?
Saya menyukai Brew Together. Saya bukanlah penggemar kopi tapi saya sendiri tak tahu mengapa saya menyenangi sabun beraroma kopi ini.
Apakah salah faham lazim tentang bar soap?
Sebahagian orang beranggapan jenama lokal yang ada di pasaran adalah produk ‘timbang kilo’, hakikatnya tidak semua. Saya menghasilkan koleksi bar soap saya sendiri bermula dari awal proses pembuatannya.
Sebagai pemilik sebuah jenama kecil, apakah cabaran besar yang dihadapi?
Berdasarkan pengalaman, proses mereka dan pemasaran sangat mencabar. Saya punya pengalaman kerja sebagai juruaudit dan bidang kerja saya lebih banyak menggunakan Excel, dan saya anggap diri saya bukanlah seorang yang kreatif. Adik dan kawan-kawan banyak menjadi tempat saya bertanya dan berkongsi buah fikir.
Apakah perancangan terdekat untuk Leenature?
Saya bercadang untuk melancarkan produk mandian badan selain dari bar soap. Tunggu ya!
Artikel Berkaitan: Pemerah Pipi Paling Hangat, Top 5 Pilihan EH!