Menurut Daiyan, lagu ini bertajuk ‘PENAT’ kerana ia melambangkan beratnya perkataan tersebut. Satu gambaran betapa penatnya memendam pelbagai perasaan. Istilahnya juga merujuk apabila kita dihadapkan dengan emosi yang terlampau dalam dan berat, kita hanya mampu bersendiri dan menangis sambil berbisik “aku penat”.

Menulis artikel ini usai menonto video lirik ‘Penat’ yang baru dimuat naik secara rasmi malam tadi, jiwa tersentak, bagai benar-benar terasa pada minit 2.32, saat cahaya projektor memancarkan perkataan ‘penat’ melintasi wajah Daiyan yang berlinang air mata. Mengenali dekat Daiyan, saya dapat rasakan sakit dan pedihnya didustai, dilukai dan harapan ‘dibunuh’ begitu saja.
Saya percaya jiwanya bagai dicarik-carik dan kerana itulah lagu ini sungguh jujur bunyinya. Daiyan menulis lagu ini dalam ratapan dan terlunas tinta dan melodinya dalam 60 minit. “Menulis lagu ini senang dalam sukar. Mudahnya kerana apa yang dicurahkan itu datang dari jiwa, perasaan yang membuak-buak, tanpa perlu dipaksa. Sukarnya pula untuk menahan emosi yang penuh hiba,” ujarnya.
Lagu ‘Penat’ ditulis lewat Jun lalu, saat seluruh Malaysia terkurung, disekat pergerakan dek pandemik. Selain melayan jiwa luka, Daiyan memahami apa yang dirasai semua di luar sana. Penat jiwa dan mental. “Tidak perlu bertemu, kita sendiri dapat rasakan semua orang sudah penat. Penat kita lain-lain. Kita bagaikan berada di laut yang sama tapi kapal lain-lain. Dari situlah datangnya idea mahu menulis ‘Penat’.”

“Penat itu bagi saya satu perkataan yang sangat berat, bukan patah atau pedih. Bunyi penat itu sendiri membuatkan kita penat dan berat. Saya harap dan percaya sesiapa yang mendengar lagu ini boleh rasa terkait dengan apa yang cuba saya sampaikan,” jelasnya.
Benarlah kata Daiyan, di saat kita terkurung lama (PKP), adakalanya mahu saja diletak jauh-jauh telefon bimbit, tidak mahu menbuka media sosial kerana sering saja disajikan dengan berita yang memukul mental. Saya sendiri sampai satu masa terasa mahu dicampakkan saja telefon ke tepi, sudah bosan dan ‘penat’. Terkurung di rumah tidak banyak yang boleh dikerjakan. Saya ada satu waktu memang mengelak dari membuka Twitter kerana berita juga ciapan di sana seakan tracun mental, terlalu banyak inti pati toksik.
Tambah Daiyan lagi lagu ini juga satu luahan jiwa selepas hubungan yang dibina terputus di tengah jalan. Harapan dan impian cintanya ranap membuatkan situasi pandemik ini lebih kuat cengkamannya. “Emosi dan mental saya tidak stabil. Dan bila sudah siap saya kongsikan teaser di Instagram dan sebenarnya ada mesej yang ingin saya beritahu dari teaser itu, walaupun orang lihat saya okey-okey saja di Instagram, itu hanyalah permukaan semata.” Menurut Daiyan dia sama saja dengan orang lain, melalui episod duka dan mengambil jalan untuk tidak menzahirkan luka itu secara maya.
“Saya suka menulis, bagi saya menulis itu adalah oksigen yang menbuat saya berasa hidup. Gembira atau sebaliknya, saya akan tulis kerana menulis memberi ruang untuk saya meluahkan apa yang saya rasa. Saya menulis untuk merawat hati, tidak kiralah menulis lagu atau puisi.”
“Menghasilkan ‘Penat’ selepas ‘On My Way’, adakah ini satu strategi untuk Daiyan menghasilkan lebih banyak lagu Melayu selepas ini?” “Mungkin, tapi bukanlah sebelum ini saya tak mahu hasilkan lagu Melayu, ia bukan dirancang kerana saya menulis mengikut mood dan perasaan. Ini saya anggap satu comeback untuk saya lancarkan lagu Melayu. Dan ia sebuah lagu patah hati, satu genre yang ramai pengikutnya.”

“Apa yang membuat Dayang penat?” “Saya okey sekarang, tapi tidak semasa menulis ‘Penat’. Penat kena duduk rumah, rindu kehidupan sebelum pandemik. Penat menanti seseorang, penat mengharapkan sesuatu, ataupun penat ada expectation yang terlalu tinggi kepada seseorang yang saya sanggup lakukan hal yang sama untuk dia. Hal itu sentiasa ada dalam kepala tapi ia tak menjadi.”
“Apa yang Daiyan belajar dari pengalaman putus cinta baru-baru ini?” “Less expecting, more accepting. Saya seorang yang mempunyai ekspektasi yang tinggi kepada bekas kekasih saya kerana saya boleh capai expectation itu. Tapi tak semua orang boleh, lebih-lebih lagi bila expectation itu ada dalam kepala kita sendiri. Kita harus terima seseorang itu seadanya tapi jika tak boleh maknanya kita memang tidak ditakdirkan bersama.”
Tonton video lirik di sini dan anda akan mengerti mengapa ‘Penat’ adalah satu karya ikhlas yang lahir dari sebuah jiwa yang diselubungi luka.