Defy, buah tangan terbaru Calvin Klein menampilkan aktor ‘Bodyguard’ sebagai wajah rasmi.
Calvin Klein bukanlah satu jenama asing, dari fesyen bawa ke haruman, jenama kelahiran Amerika Syarikat ini punya bermacam-macam haruman ikonik, dari ONE ke Eternity, Calvin Klein membawa mesej nan pelbagai dalam masyarakat.
Terkini, Calvin Klein mahu menjentik jiwa lelaki untuk lebih berani menerusi minyak wangi terbaru yang dinamakan sebagai Defy. Haruman ini mendapat sentuhan magis pakar haruman terkenal, Anne Flipo yang resumenya dibarisi pelbagai minyak wangi ikonik.
Kempen haruman ini diwakili aktor kelahiran Scotland, Richard Madden sebagai wajah rasminya. Richard sebelum ini cukup terkenal menerusi pelbagai projek seni bertaraf mega seperti Game of Thrones serta filem dongeng Disney, Cinderella. DIa juga pernah membintangi filem autobiografi Elton John, Rocketman. Ketika ini Richard sedang sibuk di set menyudahkan siri mini Citadel yang dijual akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Di dalam kempen ini, Richard ditampilkan dalam gaya yang cukup santai, masih mengekalkan imej Calvin Klein yang bersahaja dan ranggi. Richard ditampilkan dalam balutan denim berganding baju-t putih, seiring dengan identiti Calvin Klein sendiri. Foto kempen ini disempurnakan oleh jurugambar terkenal, Thomas Legrand.
Haruman ini saya sifatkan sangat segar, ciri-ciri maskulin cukup menonjol hasil karakter baunya yang woody, tidak keterlaluan namun masih punya identiti. Ia berbau ringan, sesuai disembur sebagai haruman harian. Calvin Klein Defy diperindahkan dengan adunan bahan-bahan seperti bergamot dan avender. Baunya juga dinaikkan dengan campuran minyak vetiver yang dibawa dari Haiti serta diramu bersama nota cendana (amber notes). Haruman ini diabadikan di dalam kelalang kaca jernih yang dicipta oleh Malin Ericson, yang mana dari luar jelas terlihat haruman ini berona biru cair.
Calvin Klein Defy sudah berada di pasaran, RM411 (100ml) dan RM316 (50ml).
Tonton video kempen Calvin Klein Defy di bawah
Baca: #EHklusif Temubual Bersama Natalie Portman Tentang Miss Dior