Jika ikutkan usianya, English Pear & Freesia sudah melebihi fasa masak ranum, namun selepas berdekad di gelanggang haruman ternyata ia masih menjadi antara haruman paling laris di Jo Malone.
Jo Malone, jenama yang diasaskan oleh wanita British (juga bernama Jo malone) bukanlah satu yang asing dalam dunia pembuatan haruman. Siapa sangka dari hobi suka bermain dengan alat solek seawal usia lapan tahun akhirnya dia merealisasi impian memiliki jenama kosmetik sendiri. Ibu Malone seorang pakar kecantikan, jadi memang tidak pelik bila minat dan kecenderungan yang sama bercambah dalam dirinya.
Di dalam katalongnya, jenama ini dibarisi dengan pelbagai haruman ikonik, aromanya pelbagai, dari yang ringan hinggalah yang mewah menusuk. Malah saya sendiri sangat obses dengan ‘Basil & Neroli’, itu haruman wajib ada di atas meja solek saya. Salah satu haruman paling ikonik Jo Malone ialah English Pear & Freesia. Usia haruman ini sudah berdekad dan kekal menjadi antara bau yang paling dicari-cari oleh penggemar Jo Malone sehingga ke hari ini.
Bulan ini, bau ikonik Jo Malone ini ditampilkan dalam himpunan edisi terhad yang dilengkapi dengan cologne, lilin beraroma dan juga pembersih badan dan tangan. “Bila sesiapa tercium bau English Pear & Freesia, mereka dengan segera terasa bagaikan dibawa ke taman yang dirimbuni pohon buah-buahan dan bunga nan mekar berkembang. Ada sesuatu yang membuatkan kombinasi ramuan utama haruman ini yang mencetus rasa segar seperti mana yang kita kenali,” jelas Celine Roux, ketua global haruman di Jo Malone.
Nota haruman seperti namanya dikepalai oleh King William Pear bersama kuntuman bunga freesia dan disemarakan dengan kehadiran patchouli. Haruman ini juga diserikan dengan kehadiran kayu-kayan yang dijadikan ramuan juga amber.
Selain baunya yang menyegarkan, antara faktor lain yang membuatkan English Pear & Freesia begitu masyhur adalah kerana aromanya yang mudah disatukan dengan bau-bauan yang lain. Antara yang secocok diganding bersama ialah Wood Sage & Sea Salt (satu lagi haruman pilihan popular di Jo malone) dan juga Wild Bluebell yang menyuntik rasa bunga-bungaan yang lebih dingin.
English Pear & Freesia Cologne, RM286- RM560, Body & Hand Wash RM340 (500ml), lilin RM326, Cologne Collection RM460 dan Layering Collection RM570.
Baca: Chanel Factory 5 Kini Dijual Secara Eksklusif di E-Shop Chanel